Juncker menutup pintu rundingan semula EU bersama United Kingdom.

BELGIUM – Kesatuan Eropah mengulangi pendiriannya isu Brexit yang ditinggalkan Theresa May tidak akan dibincangkan semula.

Bercakap dalam Sidang Kemuncak di Brussels pada Selasa, Presiden Suruhanjaya EU, Jean-Claude Juncker menegaskan, pihaknya sudah menutup pintu dan tidak ada peluang untuk soal rundingan semula.

“Saya telah jelaskan bahawa tidak akan ada rundingan semula (Brexit),” katanya.

Komen Juncker menjadi satu tamparan hebat untuk calon-calon PM parti Konservatif United Kingdom yang menaruh harapan tinggu membuka semula rundingan Brexit yang diusahakan May sekiranya salah seorang daripada mereka diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara tersebut.

Boris Johnson dan Dominic Raab antara calon pilihan jawatan PM terus berkempen UK harus meninggalkan EU seperti yang dijadualkan pada 31 Oktober ini.

Jeremy Hunt Setiausaha Luar Negeri percaya parti itu akan ditegur dan mengusahakan langkah baharu ekoran kegagalan menyampaikan janji yang diberikan dalam soal Brexit sebelum ini.

“Ia akan menjadi pembunuhan diri politik bukan sahaja untuk saya tetapi juga semua dalam parti kita sekiranya tidak diteruskan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sejak May mengumumkan pengunduran sebagai p[emimpin parti dan PM pada 7 Jun ini, 11 pemimpin dari parti itu mencalonkan diri masing masinh untuk mengisi kekosongan kerusi itu.- MalaysiaGazette