KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara menyangkal dakwaan Gagasan Sejahtera (GS) kononnya Malaysia mengalami kegawatan ekonomi yang semakin parah.
Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak tepat, malah tidak bersandarkan kepada fakta ekonomi dan mempunyai motif serong untuk menakutkan pelabur domestik serta asing.
Katanya, kenyataan Timbalan Ketua Pemuda GS, Shahir Adnan itu lebih bermotifkan politik murahan.
“GS tidak perlu berasa tergugat dengan pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan. Pada suku pertama 2019 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah berkembang sebanyak 4.5 peratus.
“Menurut laporan Bank Negara Malaysia, pencapaian itu mengatasi jangkaan pakar ekonomi menerusi kaji selidik Bloomberg, walaupun ada jangkaan serendah 3.9 peratus, namun prestasi ekonomi negara telah membuktikan sebaliknya.
“Bukan itu sahaja, pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing telah menunjukkan prestasi cukup membanggakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Faiz menyatakan, pelaburan langsung asing yang diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018 dengan nilai “approved FDI” melonjak sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion berbanding RM54.4 bilion pada 2017.
Lebih membanggakan, “FDI diluluskan” dalam bidang pembuatan melonjak lebih 100 peratus kepada RM58 bilion pada 2018, berbanding RM21.7 bilion pada 2017.
Katanya, hampir 70 peratus daripada “FDI diluluskan” dalam sektor itu tahun lepas adalah berkaitan projek baharu yang menunjukkan kemampuan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, pada Mac lalu, Tabung kewangan Antarabangsa telah menyatakan ekonomi negara masih utuh walaupun dihimpit impak negatif luar negara.
Manakala, Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record turut menyatakan awal tahun ini asas ekonomi negara terus kukuh dan stabil.
“Rekod juga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus tahun ini, walaupun jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus.
“Malah, agensi penarafan “Big 3” iaitu Moody’s, Fitch dan Standard & Poor’s juga telah mengekalkan rating mereka terhadap Malaysia serta telah menjangkakan ekonomi kekal stabil untuk masa akan datang.
“Agensi Fitch, misalnya pada Februari lalu telah menyatakan kadar pertumbuhan Malaysia lebih tinggi dari kadar median negara lain yang mempunyai rating sama,” katanya.
Berkaitan kedudukan ekonomi rakyat, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, kerajaan PH sedang giat melaksanakan pelbagai dasar proaktif untuk mengukuhkan prestasi ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Kata beliau, dari aspek pengurusan fiskal, kerajaan telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan hutang negara sebanyak RM200 bilion dan mengurangkan jurang defisit negara.
“Kerajaan sedang berusaha keras membawa masuk pelbagai pelaburan asing yang fokus pada teknologi tinggi bagi meningkatkan kuasa pembuatan negara dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi terutama kepada golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette
















