Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Apabila pemberian wang zakat atau apa sahaja berkaitannya cuba diambil keuntungan politik oleh pemimpin bukan Islam, ia adalah sesuatu yang serius dan perlu diambil perhatian.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini kerana dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia diambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan diuruskan oleh orang Islam.

Namun, katanya, apabila tular di media sosial mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penerima zakat, pihaknya merasakan ia sangat tidak wajar dilakukan.

“Malah, belum pernah berlaku sebelum ini dalam negara kerana isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan sangat wajar orang Islam yang menguruskannya.

“Saya difahamkan juga perkara sama turut dilakukan oleh beberapa lagi wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Muhammad Khalil menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan wajib ditegur, malah dipantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan tidak berlaku lagi.

Malah, ia juga boleh mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam dalam negara.

“Adalah lebih baik jika wakil rakyat yang bukan Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai mereka beragama Islam.

“Ini akan jadi lebih mudah dan tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah. Perkara sebegini harus dipantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.

“Saya menyeru kepada umat Islam dalam negara agar sama-sama menghayati Ramadan dan menjaga agama Islam agar tiada yang mengambil kesempatan ke atasnya di bulan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata, Islam wajar dipelihara kesuciannya agar tidak diperkotak-katikkan dan diambil kesempatan ke atasnya.

“Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast