KUALA LUMPUR – Penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak akan sama sekali menggugat atau menjadi punca perpecahan orang Melayu sebagaimana dibimbangi segelintir pemimpin.
Malah Putra juga mempunyai hasrat dan misi perjuangan yang bermatlamatkan agar parti Melayu dapat memerintah semula Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman, parti itu ditubuhkan atas permintaan ramai agar diwujudkan pentas alternatif kepada kaum Melayu yang ingin memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Tetapi, mereka tidak mahu menyertai parti UMNO atau Pas dan pada masa sama tidak mahu bersama dengan parti Melayu yang bergabung dengan DAP.
“Bagaimanapun, kita amat berterima kasih dan mengambil berat atas komen serta pandangan dari pemimpin parti politik Melayu mengenai penubuhan Putra.
“Terkini adalah komen dan pandangan dari Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyuarakan kebimbangannya dan khuatir Melayu akan berpecah dengan wujudnya parti Putra,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Ismail Sabri semalam, menyatakan UMNO senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyifatkan penubuhan Putra hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan orang Melayu di negara ini.
Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, penubuhan Putra itu bagaimanapun tidak boleh dihalang kerana Malaysia mengamalkan kebebasan dan demokrasi dalam politik.
Mengulas lanjut, Hamidah menyeru kepada semua agar bersama mempertahankan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, tidak perlulah mereka memandang rendah antara satu sama lain, sebaliknya saling lengkap melengkapkan demi sebuah perjuangan.

Sementara itu, Ketua Wiranitanya, Intan Rahmah Ali membidas kenyataan Ismail Sabri sambil menyifatkan yang tidak gembira dengan penubuhan PUTRA ialah UMNO itu sendiri.
Kata beliau, perpecahan Melayu disebabkan oleh parti Melayu seperti UMNO yang gagal memperkasa dan menongkah arus maruah bangsa.
“Sudah jelas rakyat menolak UMNO. Rakyat sudah memberi isyarat jelas dengan menolak UMNO pada PRU14. Selera serta kemahuan rakyat sudah berubah seiring dengan peredaran masa.
“Saya turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO, sebaliknya mereka beranggapan UMNO hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.
“Ikhlas saya katakan UMNO kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri dan sekarang UMNO bergantung kepada tali hayat sokongan kerjasama dengan Pas,” katanya.
Beliau turut menegaskan, punca pepecahan orang Melayu disebabkan oleh perebutan kuasa, pangkat dan berantakan sesama sendiri kerana mengejar harta dan khazanah sehingga sanggup mencantas sesama ahli. – MalaysiaGazette

















HANYA NAK MEMECAHKAN UNDI ORANG MELAYU JE SUPAYA PH DAP KEKAL MENANG DAN MENAMBAH MAJORITI