KUALA LUMPUR – Eksport perkhidmatan merekodkan sebanyak RM162.1 biluon pada tahun lalu berbanding RM159.4 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan pelancongan pada perjalanan, perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

Sementara itu, import perkhidmatan merekodkan RM179.8 bilion, berkurangan daripada RM182.2 bilion pada 2017, terutamanya disebabkan oleh bayaran lebih rendah pembinaan dan pengangkutan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport meningkat sebanyak 1.7 peratus sementara import menurun 1.3 peratus, mengurangkan defisit perkhidmatan kepada RM17.7 bilion daripada RM22.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Jumlah perdagangan perkhidmatan adalah RM341.9 bilion, mewakili 23.6 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK pada harga semasa) pada 2018.

Menurutnya, eksport perjalanan meningkat kepada RM79.2 bilion disebabkan perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi di Malaysia dari Singapore, China dan Indonesia.

Di samping itu, perkhidmatan perniagaan lain juga merekodkan penerimaan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan profesional dan rundingan pengurusan dan eksport pengangkutan diterajui oleh penumpang udara.

Sementara itu, import yang lebih rendah dalam pembinaan adalah disebabkan oleh projek mega yang berkaitan dengan minyak & gas dan kejuruteraan awam.

Rantau Asia merupakan pasaran serantau terbesar bagi eksport dengan nilai RM111.8 bilion, terutamanya disumbangkan oleh perbelanjaan pelancongan, diikuti oleh Amerika pada RM22.1 bilion terutamanya dalam perkhidmatan pembuatan dan Eropah mencatatkan RM20.0 bilion sebahagian besarnya dalam perkhidmatan perniagaan lain.

Singapura pula kekal sebagai destinasi terpenting bagi eksport Malaysia dengan mencatatkan RM40.0 bilion pada 2018, terutamanya dari perbelanjaan pelancongan dan perkhidmatan perniagaan lain.

Pasaran eksport utama lain adalah Amerika Syarikat (AS) dan China masing-masing dengan RM20.6 bilion dan RM16.1 bilion.

Katanya, AS kekal sebagai pasaran utama bagi eksport perkhidmatan pembuatan manakala China adalah untuk perbelanjaan pelancongan. – MalaysiaGazette