Pondok telefon awam yang tidak lagi digunakan dan terbiar.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam memantau aktiviti vandalisme melibatkan harta benda awam.

Peranan sama juga perlu dimainkan oleh orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam menjaga hak dan kepentingan bersama.

Ini kerana, aktviti merosakkan harta benda awam hanya akan mendatangkan kepayahan kepada banyak pihak malah, turut membawa kepada kerugian yang banyak.

Langkah pemantauan itu termasuk memastikan telefon-telefon awam tidak dirosakkan kerana ia merupakan medium penting terutamanya di saat kecemasan.

Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, senario di Malaysia pada ketika ini ialah pihak berkuasa tidak begitu serius dalam menguatkuasakan tindakan.

Beliau mendakwa, ada pihak yang pernah dilapor oleh pengadu kerana melakukan sesuatu yang mengundang kesalahan namun, tindakan tidak juga diambil.

“Sebagai contoh kita pernah terima aduan daripada orang ramai berkenaan individu yang merosakkan pondok telefon awam ini.

“Tetapi itu bukan tugas kita untuk mengambil tindakan terhadap invidu terbabit di atas perbuatannya.

“Kita minta pengadu membuat laporan kepada pihak berkuasa namun, pengadu memberitahu ia seperti mencurah air di daun keladi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF24012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN2
Dua pondok telefon awam usang menyakitkan mata yang memandang.

Nadzim turut menggesa penyedia perkhidmatan telefon awam sentiasa menambak baik perkhidmatan mereka kerana kegagalan berbuat demikian akan menjadi punca vandalisme.

“Apa tidaknya, mereka nak guna telefon awam tapi bila masukkan duit syiling panggilan tak boleh dibuat.

“Lebih malang lagi apabila perkhidmatan itu sudahlah tidak boleh diguna, duit mereka pula malah ditelan. Akhirnya mereka marah dan itu juga boleh menjadi punca berlakunya vandalisme,” ujarnya.

MGF24012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN5
Iklan ceti haram dan sampajh sarap di pondok telefon awam yang terbiar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat, rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti mereka seperti rakyat yang hidup dalam sebuah negara maju.

Katanya, meskipun vandalisme tidak dapat dielakkan namun, setidak-tidak mereka boleh berfikir tentang kepentingan harta awam itu di saat genting.

“Perlakuan vandalisme ini sememangnya perlu dielakkan kerana ia menyusahkan banyak pihak.

“Penguatkuasaan perlu dilakukan secara tegas dan tindakan keras harus dikenakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan vandalisme yang sememangnya tidak berakal.

MGF24012019_TELEFON AWAM MASIH RELEVEN4Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar perkhidmatan telefon awam dikekalkan dan tidak sewajarnya menjadi bahan peninggalan yang disimpan di muzium untuk dikenang oleh generasi pada masa hadapan.

“Telefon awam ini penting. Tak semua orang mampu nak memiliki telefon bimbit.

“Saya tengok di sesetengah tempat ada lagi yang masih menggunakan telefon awam ini seperti di asrama dan sekolah-sekolah.

“Jadi, saya mewakili pengguna berharap agar perkhidmatan telefon awam ini dikekalkan dan dalam pada masa sama perkhidmatannya ditambah baik,” kata beliau. – MalaysiaGazette