SEOUL – Harga minyak jatuh hari ini didorong oleh prospek permintaan minyak yang lemah dan peningkatan inventori mentah Amerika Syarikat walaupun terdapat jangkaan pengurangan bekalan oleh OPEC.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, susut sebanyak AS$0. 76 atau 1.22 peratus kepada AS$ 61.53 setong pada 0036 GMT.

Kontrak minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga jatuh AS$0.79 atau 1.3 peratus pada AS$ 52.58 setong.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak dunia dan pengeluaran minyak Amerika Syarikat.

Ia mengurangkan unjuran sebanyak 160,000 tong sehari kepada 1.22 juta tong sehari, meskipun ia mengulang balik unjuran pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat pada tahun ini kepada 12.32 juta tong sehari.

Unjuran itu kurang daripada 140,000 yang diramalkan pada bulan Mei.

Peningkatan kejutan dalam stok minyak mentah Amerika Syarikat juga meletakkan harga minyak di bawah tekanan.

“Para pelabur bimbang tentang kenaikan stok minyak Amerika Syarikat,” kata ANZ Bank.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat meningkat sebanyak 4.9 juta tong pada minggu yang berakhir pada 7 Jun kepada 482.8 juta tong, menurut data American Petroleum Institute (API). – MalaysiaGazette