Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Individu yang membuat pengakuan bahawa beliau adalah lelaki di dalam video intim bersama seorang yang didakwa menteri Kabinet boleh diheret ke mahkamah jika terdapat laporan polis dibuat terhadapnya.

Presiden Persatuan Peguam- Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, laporan boleh dibuat di Sandakan iaitu lokasi yang didakwa tempat kejadian oleh pihak berkuasa di sana.

Jelas beliau, individu tersebut iaitu Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin seterusnya boleh didakwa di mahkamah sivil atau syarie.

“Individu itu hanya boleh didakwa di satu mahkamah sahaja bergantung mahkamah mana yang mendakwa terlebih dahulu.

“Cuma laporan polis perlu dibuat untuk mendakwa beliau bagi kes luar tabie di mahkamah sivil dan kes liwat di mahkamah syarie,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media peguam Syazlin Mansor yang menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam inkues siasatan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di sini hari ini.

Pagi ini, Haziq mengejutkan dunia media sosial apabila tampil mengaku beliau individu yang dikaitkan dengan video intim bersama seorang yang didakwa menteri Kabinet.

Beliau turut membuat pengakuan bersumpah beliaulah orang yang terlibat dalam perbuatan sumbang itu.

Haziq mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan dan ketika itu umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan.

“Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama […] dalam video yang telah viral semalam.

“Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) […] di Hotel Four Points,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosial awal pagi ini.

Nama menteri yang disebut tidak dapat disiarkan oleh Malaysia Gazette memandangkan menteri yang didakwa belum memberikan sebaŕang komen.

Dalam rakaman yang sama. Haziq yang berusia 27 tahun dan berkelulusan jurusan undang-undang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat menteri terbabit.

“Saya menggesa SPRM untuk menyiasat […] atas tuduhan korupsi. – MalaysiaGazette