Ketua Pengarah baharu SPRM Latheefa Beebi Koya menandatangani buku pelawat di ibu pejabat beliau sebagai tanda memulakan tugasnya scara rasmi pada pagi ini. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kumpulan G25 menyokong keputusan Perdana Menteri melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagai menangguk di air keruh.

Menurut Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), ketika rakyat dan sebahagian besar pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) terkejut dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, G25 menunjukkan mereka telah hilang integriti dan kredibiliti.

Dr. Asmah Razalli
Dr. Asmah Razalli

Kata beliau, keputusan dominan Dr. Mahathir yang dianggap tidak menghormati janji manifesto dan pencabulan persetujuan bersama dalam PH adalah drama bersiri kepada rentetan pelbagai janji serta persoalan integriti di dalam kerajaan hari ini.

“G25 yang mendakwa kononnya kumpulan berpengaruh di Malaysia dan sebagai organisasi masyarakat sivil, seeloknya lebih bersifat sivik dalam memahami isu sebenar.

“Tiada siapa akan membantah keputusan “strategi minda” seperti Dr. Mahathir jika ianya tidak melanggar susur galur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), norma integriti dan kredibiliti sesuatu badan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kata Dr. Asmah, Latheefa adalah ahli PKR sebelum dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, walaupun begitu memaklumkan kepada pihak media telah meletakkan jawatan itu.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah, di mana Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti dilantik melalui proses Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan ia bagaikan tamparan hebat bagi kerajaan Malaysia dan PH khususnya.

“Lebih ironi, tangisan emosi bekas Ketua SPRM yang lalu (Shukri Abdull), hanyalah tangisan kosong yang mengheret tuduhan terhadap pelbagai pemimpin.

“Persoalannya, adakah ia berasas dan di manakah letaknya integriti serta kredibiliti SPRM hari ini.

“Kini, sesiapa sahaja boleh mempersoalkan jika SPRM mengheret kes rasuah ke muka pengadilan. Adakah ianya legit dan adakah ianya suatu penganiayaan?

“SPRM adalah badan berkanun yang sepatutnya bebas dari mana-mana lantikan politik atau keputusan dominan Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette