GUA MUSANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan rangka manusia dipercayai milik seorang Orang Asli suku Batek yang dikatakan meninggal dunia akibat ‘penyakit misteri’ kira-kira tujuh kilometer dari Ladang Aring 10 di sini pada 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rangka manusia itu ditemukan bertaburan atas tanah dan sebahagiannya lagi berada di atas pokok.

“Buat masa ini, polis tidak membawa keluar rangka itu sebaliknya, kawasan itu akan ditandakan sebagai lokasi pertama penemuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilapor berkata, kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan selepas mati akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan, untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Hasanuddin berkata, operasi mengesan lokasi kubur dan persemadian itu, membabitkan lebih 30 anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Orang Asli di situ, ditamatkan pada 5.30 petang tadi dan akan disambung pagi esok.

Hasanuddin berkata, tiga kumpulan digerakkan dalam operasi berkenaan yang turut dibantu Unit Forensik, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan beberapa agensi lain.

“Bagi proses membawa rangka manusia itu akan diputuskan Unit Forensik kerana fokus utama sekarang untuk mengesan lokasi kubur yang lain,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, kampung berkenaan turut diisytiharkan sebagai Zon Merah dan laluan masuk ke kampung itu akan ditutup sehingga operasi dan siasatan selesai.

“Selain daripada pasukan operasi, petugas media dan orang awam termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan masuk buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi aktiviti keluar masuk pekerja ladang berhampiran kampung itu, ia bergantung kepada pihak pengurusan ladang terbabit. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast