Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Pas itu atas asas menyuburkan ruang demokrasi dalam parti.

Beliau yang merupakan Menteri Besar Terengganu berkata, pemilihan jawatan dalam parti pada Muktamar Tahunan Pas minggu depan disifatkan sebagai urusan dalaman keluarga yang berlangsung setiap dua tahun sekali.

Namun, katanya, beliau menerima pencalonan itu dengan rasa berat hati kerana bakal bersaing dengan penyandang jawatan tersebut yang hebat dan cemerlang.

Beliau turut menyifatkan tiga penyandang Naib Presiden Pas sedia ada itu sebagai ‘abang-abang’ yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Pemilihan dalam Pas adalah satu urusan dalaman keluarga yang berlangsung setiap dua tahun sekali. Ianya berjalan dalam suasana harmoni.

“Saya menerima pencalonan dari Pas kawasan untuk bertanding Naib Presiden, walaupun hati saya merasa berat kerana mengenangkan yang ada sekarang ini.

“Mereka ini yang saya kategorikan sebagai insan yang hebat, menjadi Naib Presiden dan menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan begitu baik dan cemerlang sekali,” katanya dalam satu majlis di Terengganu hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri satu-satunya calon tunggal yang mencabar jawatan naib presiden pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 pada 21 hingga 23 Jun ini.

Beliau berdepan dengan tiga penyandang naib presiden, iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Dr. Ahmad Samsuri yang menyerahkan pemilihan jawatan itu kepada para perwakilan turut menyatakan jawatan sebagai orang nombor satu memimpin kerajaan Terengganu bukanlah kelebihan mutlak.

“Jawatan saya sebagai menteri besar dalam tempoh setahun ini, saya memberi markah kepada diri saya sendiri masih banyak lagi perkara yang belum saya buat, belum saya mampu capai.

“Apapun saya menyerahkan kepada perwakilan parti dalam muktamar ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette