Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun 2019 melonjak sebanyak 73.4 peratus kepada RM29.30 bilion berbanding RM16.9 bilion tahun lepas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan sebanyak 127 peratus pelaburan pengilangan yang melonjak kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion setahun lalu.

“Daripada RM20.2 bilion FDI sektor pengilangan yang telah diluluskan, RM11.5 bilion datang daripada Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura.

“Daripada RM29.3 bilion keseluruhan FDI yang telah diluluskan, dijangka sebanyak 41,200 peluang pekerjaan dapat dibuka kepada rakyat Malaysia yang mana 22,970 adalah dalam bidang pengeluaran manakala 18,000 dalam bidang perkhidmatan.

Tambah Guan Eng, kecekapan kerajaan di dalam menguruskan negara ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pilihan pelaburan utama di rantau ini.- MalaysiaGazette