Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mesti menjadi pengajaran besar kepada semua ahli UMNO untuk bangkit semula menjadi parti yang lebih kuat.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ahli dan pemimpin peringkat akar umbi perlu menyerlahkan wajah sebenar yang ikhlas berjuang membela orang Melayu, Bumiputera dan rakyat.

“Selamat bersidang kepada pimpinan dan ahli parti di 191 bahagian UMNO seluruh negara. Mesyuarat perwakilan bahagian dan sayap parti bermula minggu ini.

“Sudah tentu keupayaan UMNO terus mengadakan mesyuarat sebagaimana sepatutnya adalah gambaran kekuatan yang dimiliki UMNO”, katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi sewajarnya mesyuarat itu bukan semata-mata untuk memenuhi aturan dan perlembagaan parti sahaja.

“Jauh daripada itu, kita mesti manfaatkanya untuk berbincang, melakukan muhasabah, menilai apa yang kita lakukan sebelum ini dan kemudian merencana langkah seterusnya demi menjayakan perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara tercinta,” katanya.

Beliau yakin UMNO sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu dan Bumiputera dalam negara ini sedang diperhati serta dinilai oleh rakyat.

“Kita mesti buktikan dan yakinkan rakyat UMNO adalah yang terbaik dan mampu diletakkan sandaran serta diberikan semula mandat dan tanggungjawab memimpin Malaysia negara tercinta ini.

“Dipersidangan ini marilah kita serlahkan wajah sebenar UMNO yang ikhlas berjuang membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dan percayalah, melihat kepada prestasi serta cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Malaysia ketika ini pasti ia mengecewakan rakyat,” katanya.

Justeru ujarnya, UMNO mesti dilihat serta diyakini untuk mengambilalih semula pemerintahan negara ini, jadi manfaatkan persidangkan ini bagi membuktikan UMNO bersatu padu, kuat, ikhlas, berjuang untuk kepentingan dan masa depan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast