KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Negara mengajak anak muda menolak Pas atas penghinaan yang diberikan parti itu kepada golongan berkenaan.
Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, sentimen perkauman yang sedang dicanang Pas dan sekutu baharunya UMNO akan membangkitkan kebencian kaum yang lebih kronik dan boleh mengancam keharmonian kaum serta kemakmuran negara yang sedang dibina oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PH).
Katanya, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa 30 peratus anak muda yang mengundi PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tidak mengaji kitab adalah kenyataan begitu naif dan satu penghinaan kepada tahap intelektual anak muda negara ini.
“Sikap Pas ini seolah tidak mengiktiraf kebijaksanaan dan kematangan amalan demokrasi anak muda yang melakukan revolusi menjatuhkan regim Barisan Nasional (BN) tanpa pertumpahan darah, tidak seperti di Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran.
“Antara isu utama yang mendorong anak muda negara ini bangkit membuat perubahan dalam PRU itu kerana jijik dengan amalan korupsi dan salah tadbir urus kerajaan kleptokrasi BN menyebabkan krisis ekonomi menjerut kehidupan anak muda terutama kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menyatakan, keberanian anak muda membuat perubahan itu menunjukkan tahap intelektual yang tinggi di kalangan pelapis negara yang mahu menyelamatkan negara daripada cengkaman kezaliman BN.
Kemajuan sesebuah negara, katanya perlu diasaskan oleh tadbir urus yang baik dan keadilan sosial dan ekonomi.
“Negara ini yang berlatar belakangkan masyarakat majmuk memerlukan apa sahaja dasar pentadbiran dan model ekonomi yang dirangka kerajaan hendaklah di atas premis keadilan kepada semua kaum.
“Setiap anak muda pula berhak diberikan peluang pendidikan, pekerjaan, perumahan dan kualiti hidup yang adil tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Justeru, kitab perkauman yang dibawa Pas hendaklah ditolak habis-habisan oleh anak muda negara ini,” katanya.
Faiz berkata, piagam kerjasama Pas-UMNO yang bakal dibentuk tidak lama lagi tidak berpremiskan kepada agenda ekonomi dan rakyat, sebaliknya agenda perkauman dan kebencian yang tidak memberikan manfaat kepada negara terutama masa depan generasi muda. – MalaysiaGazette