Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Ketiadaan sebarang tindakan terhadap Haziq Abd Aziz akan mencemarkan nama Parti Keadilan Rakyat di mata orang Melayu dan Islam malah kealpaan seumpama itu dilihat sebagai kegagalan kepimpinan dalam parti itu khususnya presiden.

Kebimbangan itu dinyatakan oleh Khalid Jaafar yang merupakan penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Haziq yang merupakan Ketua AMK Cabang Santubong bukan membuat pengakuan sebagai mangsa.

Sebaliknya, kata Khalid, Haziq dengan bangga membuat pengakuan melakukan seks luar tabie.

“Bukan sahaja apa yang beliau lakukan dilihat amat jijik oleh masyarakat Melayu dan Islam. Perbuatan itu juga satu jenayah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Khalid seterusnya membuat analogi.

Katanya, kalau orang mual dengan Kuala Lumpur kerana banyak sampah maka langkah yang perlu dilakukan untuk memulihkan imej KL adalah mengambil tindakan keras terhadap mereka yang membuang sampah.

“Maka tidak cukup menyatakan kebencian terhadap politik jijik ini.

“Mereka yang membuat kerja jijik ini perlu dikenakan tindakan keras. Sekarang kita sampai kepada inti persoalan. Kenapa tidak ada tindakan dari KEADILAN terhadap Haziq yang membuat pengakuan yang menjijikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast