Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Kenderaan Kepada PDRM oleh MRCB George Kent Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan daripada kumpulan bersenjata yang menculik 10 nelayan Bajau Laut di perairan Felda Sahabat Lahad Datu, Sabah awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini masih menunggu perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Siasatan masih berjalan dan kami masih menunggu perkembangan terkini berhubung kes ini daripada Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, 10 nelayan berkenaan dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata yang dipercayai ada kaitan dengan Abu Sayyaf daripada dua bot nelayan di perairan Lahad Datu.

Ketika itu mereka dalam perjalanan menuju ke Semporna.

Mereka dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua mangsa berumur 17 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya memiliki Surat Lepa-Lepa sebagai pengenalan diri untuk mereka tinggal di negara ini. – MalaysiaGazette