Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Tumpuan semasa Malaysia terhadap pasaran bebas, pelaburan berkualiti dan pengeluaran tinggi dijangka memberi impak ketara ke atas pertumbuhan ekonomi tahun ini walaupun berlaku ketidaktentuan sementara semasa tempoh peralihan yang menjejaskan keyakinan pelabur, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, penyambungan semula projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memulihkan keyakinan dan kepercayaan pelabur dalam pasaran Malaysia sekali gus membawa aliran pelaburan.

“Kami berpandangan separuh kedua tahun ini akan menyaksikan aktiviti pelaburan meningkat semula secara ketara dan penggunaan domestik berada pada trajektori menaik berterusan disokong oleh kesan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah, tekanan inflasi berkurangan serta kestabilan pasaran kerja,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF turut menjangkakan prospek positif bagi permintaan domestik dengan penggunaan dan pelaburan swasta terus berkembang masing-masing pada 7.2 dan 4.2 peratus tahun ke tahun bagi tahun ini, manakala perbelanjaan kerajaan diunjurkan meningkat pada kadar 3.5 peratus tahun ke tahun.

Mengenai perdagangan, firma itu berkata prestasi perdagangan luaran dijangka kekal sederhana memandangkan Amerika Syarikat (AS) dan China gagal mencapai persefahaman malah mula mengenakan kenaikan tarif antara satu sama lain, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan selain dijangka mengurangkan permintaan import dari Malaysia.

“Eksport bersih meningkat kukuh pada 10.9 peratus tahun ke tahun dan 14.7 peratus suku ke suku. Bagaimanapun eksport berkembang sedikit manakala import susut selepas tiga sukuan berturut-turut mencatatkan pertumbuhan positif dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global disebabkan perang perdagangan.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan eksport dan import benar akan susut 0.8 peratus dan 0.7 peratus tahun ke tahun bagi 2019,” menurutnya.

MIDF menjangkakan sektor berasaskan komoditi pulih dengan peningkatan stabil pada masa akan datang, disokong faktor asas yang rendah dan kenaikan harga komoditi secara berperingkat terutamanya minyak mentah manakala harga minyak sawit mentah (MSM) kekal lembap berikutan risiko negatif kelapa sawit.

“Kami juga menyemak turun unjuran MSM purata kepada RM2,090 daripada RM2,280 satu tan. Selain itu, sektor pembinaan yang meningkat 0.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama dijangka beransur-ansur meningkat pada tempoh suku-suku akan datang dengan didorong penyambungan semula projek infrastruktur.

“Bagi 2019, kami mengunjurkan sektor pertanian, perlombongan dan pembinaan berkembang pada kadar lebih cepat masing-masing 1.5, 2.1 dan 4.5 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, sektor perkhidmatan dan pembuatan akan mengalami penurunan masing-masing pada 6.5 dan 3.8 peratus tahun ke tahun,” kata MIDF.

Berdasarkan perkembangan dan petunjuk semasa, MIDF menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada 4.9 peratus tahun ini didorong permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah kesan OPR yang minimum, tekanan inflasi yang rendah, kestabilan pasaran pekerjaan serta perkembangan positif sektor pembinaan.

“Di peringkat luaran, kami menjangkakan aliran sedikit lemah akibat kesan perang perdagangan. Bagaimanapun, kenaikan harga komoditi secara berperingkat terutama harga minyak mentah akan menyokong jualan minyak mentah dan gas asli luar negara pada 2019,” menurut MIDF.

Mengenai prospek ringgit, firma penyelidikan itu berkata mata wang tempatan dijangka didagangkan pada RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini dan mencecah purata RM4.12 bagi setahun penuh.

MIDF berkata keputusan entiti dana kekayaan negara (SWF) Norway untuk mengurangkan pendedahan kepada pasaran pesat membangun termasuk Malaysia dijangka menyebabkan aliran keluar ketara dari pasaran bon Malaysia dari semasa ke semasa dan keadaan itu akan memberi tekanan kepada ringgit.

Di samping itu, MIDF berkata kemungkinan penurunan taraf pasaran bon Malaysia oleh FTSE Russell akan terus menjejaskan ringgit sehingga September tahun ini.

“Kadar faedah lebih rendah, susulan pengurangan OPR, adalah cenderung bersifat tidak menarik untuk pelaburan asing, mengurangkan permintaan bagi dan nilai relatif mata wang. Ringgit menyusut secara mendadak berikutan penurunan kadar faedah pada awal Mei dan mencecah RM4.19 berbanding dolar AS menjelang akhir bulan ini.

“Tambahan pula, unjuran eksport yang lebih rendah pada 3.6 peratus bagi 2019 (2018: 6.7 peratus) juga boleh mengehadkan permintaan terhadap ringgit,” menurut MIDF.

Bagaimanapun, MIDF berkata peningkatan harga komoditi secara beransur-ansur terutama minyak mentah Brent, kedudukan fiskal kerajaan Malaysia yang lebih baik, pelaburan lebih tinggi dan aktiviti penggunaan domestik yang mungkin didorong oleh pengurangan OPR serta pertumbuhan kukuh ekonomi akan menyokong ringgit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast