KUALA LUMPUR – Pas konsisten memilih pendekatan damai, terbuka berdialog dan menjalin hubungan politik dengan semua pihak atas prinsip kerjasama atau Piagam Muafakat Politik.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama yang disemai oleh Pas ialah yang menguntungkan Islam, negara dan bangsa serta mendahulukan perpaduan dalam kalangan umat.
Kata beliau, Pas juga menjalin kerjasama yang bersifat mempertahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk, selain menunjukkan nilai akhlak dan integriti yang tinggi.
“Justeru, jangan putuskan hubungan Islam dan kemanusiaan. Kalau renggang rapat-rapatkan, kalau jauh dekat-dekatkan, kalau putus hubungkan, teruskan perjalanan perpaduan ummah, laksana biduk lalu kiambang bertaut, air ditetak tidak putus.
“Kita mengharapkan rakan bukan Islam menolak parti fanatik perkauman khusus yang bersikap negatif terhadap umat Islam, tanpa mengenang budi, demi kepentingan kaumnya sahaja tanpa peduli hubungan kaum yang mesti dipelihara dengan saksama.
“Mari bermuafakat tegakkan keadilan untuk semua, bersama hak yang setimpal dengan keperluan masing-masing, bukannya persamaan tanpa peduli kepada yang lemah dan miskin,” katanya pada ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan Pas keli ke-65 di Kuantan, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, tidak mungkin manusia boleh hidup secara invidualistik, melainkan memerlukan kerjasama dan perkongsian kemahiran untuk menyempunakan kehidupan.
Ujarnya, tidak ada manusia atau kaum yang pandai dalam semua perkara dan tidak ada negara yang ada semua hasil keperluan.
“Bagi melaksanakan perbezaan yang wajib ini, perlu diselaraskan secara saksama dengan melaksanakan konsep perpaduan yang unggul supaya bersama dalam titik persamaan dan menjaga sempadan apabila adanya perbezaan.
“Islam menegaskan bahawa perpecahan dan pertembungan juga adalah sifat kejadian manusia secara naluri kerana ada dalam kalangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan memaksa pihak lain menerimanya secara paksaan.
“Sifat ini wajib dihalang dan ditentang bagi menyelamatkan semua. Keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara di bawah pemerintahan Islam yang berdaulat,” katanya. – MalaysiaGazette