Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyeru seluruh organisasi parti itu mengatur persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung lebih awal dari tempoh lima tahun.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, organisasi parti perlu memberi keutamaan kepada aspek penambahan ahli, pendaftaran pengundi, pelebaran pengaruh dan penguasaan media secara berstrategi.

Kata beliau, semua kerja asas Jabatan Pilihan Raya (JPR) Pas perlu disepadukan di semua peringkat melibatkan kesediaan jentera, latihan, simulasi dan kewangan mengikut tanda aras serta arahan ditetapkan dengan dipantau oleh negeri dan pusat.

Pada masa sama ujar beliau, semua aktiviti Dewan dan Kawasan hendaklah memberikan 70 peratus penumpuan ke arah jalinan luaran bagi mendekati sasaran dakwah.

“Sasaran kita ialah anak muda dan pengundi atas pagar perlu diberikan tumpuan secara tersusun, manakala 30 peratus lagi penumpuan ke arah membina kekuatan dalaman, pentarbiahan ahli dan pengukuhan organisasi secara berterusan.

“Mandat untuk menjalin kerjasama politik, pembahagian kerusi dan pemilihan calon hendaklah diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat dengan mengambil kira pertimbangan fiqh siasah dan strategi politik semasa,” katanya dalam ucapan dasar Presiden dan perasmian Muktamar Tahunan Pas Pusat di Kuantan, hari ini.

Abdul Hadi turut mengingatkan seluruh organisasi parti itu agar mematuhi setiap arahan dengan seikhlas hati dan bertawakkal kepada Allah menerusi konsep taat dan wala’.

“Jangan sibuk mahu menjadi panglima perang, sedangkan perisai dan kuda masih belum dipersiapkan,” tegasnya.

Sempena dengan agenda pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada muktamar kali ini, beliau yakin kebijaksanaan para perwakilan memilih pemimpin terbaik di kalangan mereka.

Beliau mahu perwakilan memilih pemimpin yang memiliki kekuatan ilmu, fikrah, akhlak dan pengaruh serta mampu melaksanakan kerja secara berjemaah.

“Namun, jangan pula perwakilan menganggap yang tidak terpilih itu tidak baik kerana pemilihan pemimpin mengikut realiti dan tuntutan semasa.

Abdul Hadi berpesan agar semua pimpinan dan ahli Pas untuk terus beristiqamah menghadapi cabaran bagi menjayakan agenda ‘Islam Memimpin Perpaduan’ dengan melaksanakan beberapa taklifan.

Antaranya, kata beliau, meningkatkan keyakinan dan kebergantungan ke hadrat Allah, meningkatkan ilmu, kefahaman dan tarbiah bagi memelihara jatidiri sebagai ahli Jemaah Islam dan merapatkan ukhuwwah dan saf perjuangan, menjaga wala’ dan taat serta adab ikhtilaf dalam jemaah.

Beliau juga mahu pimpinan dan ahli merapatkan hubungan dengan masyarakat, anak muda, wanita, tokoh berpengaruh, NGO dan kumpulan Islam.

Selain, merapatkan hubungan dengan rakan bukan Islam yang bermasyarakat madani, khususnya di kalangan NGO dan tokoh berpengaruh.

“Kita perlu mendahulukan damai dan persaudaraan dalam berpolitik serta mengelakkan pertembungan serta krisis dalam masyarakat dan menyakini bahawa masa depan adalah untuk Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast