KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan memantau secara rapat segala prosiding mahkamah berkaitan saman perlucuthak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas 41 individu, kumpulan dan entiti yang dipercayai menerima sumber kewangan dari 1MDB.
Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, parti itu juga akan terus lantang menegur jika ada kelihatan sebarang elemen penindasan tidak wajar pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap musuh politiknya.
Kata beliau, jika keseluruhan wang berjumlah RM270 juta itu dikatakan wang rakyat yang diselewengkan oleh kerajaan terdahulu, Putra merizabkan pujian terhadap kerajaan hari ini tertakluk kepada keputusan mahkamah.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-undang Putra menjelaskan, berdasarkan kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, saman pemula telah difailkan terhadap individu, kumpulan dan entiti terbabit untuk melucuthak wang berkenaan.
“Mereka ini didakwa menerima wang berkenaan daripada sumber akaun AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai SPRM daripada sumber 1MDB yang dianggap “wang haram” oleh kerajaan Malaysia.
“Menurut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), hanya “syak yang munasabah” oleh pendakwa raya adalah memadai untuk memfailkan saman perlucuthak ini.
“Ini bermakna pendakwa raya tidak perlu membuktikan wang itu adalah wang haram sebelum memfailkan tindakan ini sehinggalah ianya dinafikan oleh pihak yang disaman bahawa wang itu diperolehi secara sah mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, Latheefa dilaporkan berkata, SPRM berjaya memfailkan permohonan melucuthak di bawah Seksyen 56 Akta AMLA 2001 terhadap 41 responden bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB yang disalah guna.
Kata beliau, permohonan yang difailkan dua hari lalu itu bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Mohd Khairul Azam yang juga seorang peguam, disebabkan permohonan yang dibuat SPRM itu bukan permohonan jenayah, tidak wujud istilah beban pembuktian kepada pihak yang menuntut.
“Melainkan kedua pihak hendaklah mengemukakan keterangan afidavit masing-masing berkaitan wang berkenaan untuk pertimbangan mahkamah sama ada wang itu boleh dirampas oleh kerajaan atau tidak.
“Masalah yang mungkin timbul adalah wang itu telah habis digunakan oleh kesemua 41 individu dan entiti berkenaan.
“Jadi, jika mahkamah mengarahkan untuk wang itu dikembalikan kepada kerajaan, dalam keadaan semua individu, kumpulan dan entiti berkaitan tidak mampu memulangkan jumlah wang yang mahu dirampas, semua mereka berisiko untuk dibankrapkan, dibatalkan pendaftaran dan digulungkan,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Putra melihat terdapat asas undang-undang yang baik untuk kedua-dua pihak, sama ada yang menuntut atau yang dituntut untuk berjaya dalam kes itu dan terserah kepada peguam masing-masing untuk menjaga kepentingan undang-undang anak guam.
Putra tegas beliau, menentang sebarang penyelewengan oleh pihak kerajaan tidak kira kerajaan Barisan Nasional (BN) atau PH.
“Sekiranya terbukti di mahkamah nanti bahawa wang dari sumber 1MDB berkenaan adalah milik negara yang diselewengkan oleh kerajaan terdahulu, Putra menyokong penuh tindakan kerajaan sekarang untuk mendapatkan semula wang milik rakyat.
“Pada masa sama, Putra mengutuk sebarang penyalahgunaan Akta AMLA oleh pihak kerajaan jika ianya digunakan semata-mata untuk tujuan menyeksa dengan cara membekukan akaun bank musuh politik kerajaan atau dijadikan alasan nanti untuk membankrapkan, mengharamkan penubuhan atau menggulung syarikat yang mungkin menerima wang berkenaan secara bona fide daripada sumber.
“Sama ada Akta AMLA ini disalah guna atau tidak, keputusan kes saman sivil SPRM ini nanti akan mendedahkan semuanya,” katanya.
Beliau juga mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas segera mendakwa mana-mana pihak berkaitan isu 1MDB yang sehingga kini tiada suatu pendakwaan pun dibuat walaupun telah lebih satu tahun kerajaan PH memerintah.
Kegagalan kerajaan segera mengheret penjenayah 1MDB ke muka pengadilan hanya menyebabkan pihak lain menjadi mangsa keadaan, sedangkan penjenayah yang dikaitkan dengan skandal itu belum didakwa.
“Selagi belum disabitkan bersalah oleh mahkamah, maka belum terbukti wang 1MDB itu adalah wang dari sumber haram,” ujarnya. – MalaysiaGazette