Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA UMPUR  – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) melantik lima muka baharu untuk menduduki kerusi Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu.

Mereka ialah Siti Aminah Bakhtiar selaku Naib Ketua Wiranita; bekas anggota Exco kerajaan Perlis, Zahari Bakar (Ketua Penyelaras Putra Perlis); Mohd Nasir Osman (Ketua Penyelaras Putra Pulau Pinang); Arjuna Putra Ali (Ketua penaja Bahagian Pengerang, Johor), Mat Dahlan Awang (Ketua Penyelaras Terengganu).

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, mengikut perlembagaan, parti itu boleh melantik 34 Ahli Jawatankuasa, dan sehingga kini 33 sudah diisi, manakala satu kerusi lagi masih kosong.

Katanya, beliau tidak menjangka sama sekali ramai tokoh penting berminat menyertai ADT Putra, tapi pihaknya tidak boleh melantik semua ke jawatan itu, melainkan menggunakan kaedah perwakilan negeri.

“Ramai dalam kalangan tokoh akademik, Profesor Madya, Profesor dan pemegang PHD merungut serta merayu hendak menjadi ADT Putra.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh melantik semua mereka kerana jawatan yang ada agak terhad. Mereka boleh menjadi wakil Putra di setiap negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Putra kali ke-2 di Rumah Bakti Dato’ Harun, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Abdul Khalid Yunus.

Pada mesyuarat itu juga, Dr. Ibrahim turut mengumumkan Naib Ketua Wiranita, Siti Aminah sebagai Pengarah Strategi dan Komunikasi Putra.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, parti itu turut mewujudkan Pusat Pemikir yang berfungsi sebagai tempat pengumpulan data yang diketuai Dr. Mohd Hilmi Ibrahim.

“Beliau akan bertanggungjawab mengumpul data yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Semua biro dalam Putra akan menyalurkan maklumat kepada Pusat Pemikir ini untuk diolah strategi bagi memudahkan Putra mengorak melangkah dari segi perjuangannya mulai sekarang dan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sejak pihaknya menerima sijil kelulusan dari ROS pada 8 Mei lalu, dan dalam tempoh 45 hari, pihaknya sudah melantik 124 Ketua penaja Bahagian di seluruh negara tidak termasuk Sarawak.

Katanya, jumlah bahagian atau kawasan Parlimen di seluruh negara ada sebanyak 191, tetapi Putra dalam tempoh yang singkat ini telah menubuh 124 bahagian penaja.

“Kebanyakan Ketua penaja Bahagian Putra terdiri dari pelbagai tokoh. Ada bekas pegawai tentera, bekas pegawai tinggi polis, tokoh akademik, pensyarah, dan anak muda,” katanya.

Kata beliau, dari jumlah itu, Putra Johor sudah melantik Sembilan Ketua penaja Bahagian dari 26 kerusi bahagian; Terengganu (lapan kerusi, lapan sudah dilantik), Melaka (enam sudah dilantik), Negeri Sembilan lapan (enam daripada lapan sudah dilantik), Wilayah Persekutuan (sembilan daripada 12 kerusi sudah dilantik).

Diikuti Selangor (13 daripada 22 kerusi bahagian sudah dilantik), Perak (17 sudah dilantik), Kedah (15 sudah dilantik), Perlis (tiga), Pulau Pinang (lima dari 13 kerusi sudah dilantik), Pahang (tiga daripada 15 kerusi sudah dilantik), Kelantan (tiga daripada 14 kerusi) dan Sabah (17 daripada 25 kerusi bahagian sudah dilantik).

Putra menetapkan sasaran akhir Julai ini untuk semua 191 bahagian dilantik ketua penaja sebelum diserahkan kepada ROS.

“Penyerahan dokumen ini kepada ROS untuk peringkat memohon kebenaran menubuhkan bahagian.

“Prosesnya, kita lantik ketua penaja dahulu, mereka isi borang lengkap alamat dan kita angkat kepada ROS untuk pihak berkenaan mengeluarkan meluluskan bahagian mengadakan mesyuarat.

“Manakala proses penubuhan cawangan berjalan serentak, tetapi fasa kedua ialah awal Ogos ini. Kalau semua bahagian dan kawasan sudah sempurna atau 80 peratus termasuk 30 peratus cawangan mengikut PDM tiap kawasan, target kita pelancaran Putra akan diadakan pada 1 September ini sempena sambutan Maal Hijrah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast