Foto Aliff Aziz yang dikatakan membuat tatu tersebar di media sosial.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aliff Aziz terus mencetuskan kontroversi apabila sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas foto yang mempamerkan bahagian dadanya dibuat tatu dengan nama bekas isteri, Bella tersebar di laman sosial.

Turut tersebar beberapa keping foto yang menampakkan bahagian belakang tubuhnya dipenuhi dengan lukisan seakan tatu.

Bagaimanapun menerusi sebuah portal, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, menjelaskan ukiran tersebut dilukis menggunakan inai berwarna hitam.

Malah menerusi akaun Instagram pelukis inai yang menggunakan nama Leahenna Artist, dia mengakui bertanggungjawab melukis ukiran itu ketika Aliff mengunjungi rumahnya.

Menurut individu tersebut, foto yang tersebar itu dirakam sebelum Aliff mengahwini Bella dan ketika bekas isteri penyanyi itu berada di China.

“Itu inai hitam. Sis (saya) lukiskan untuk Aliff Aziz masa dia datang lepak rumah sis. Bukan tatu betul tu.

“Ni gambar dah lama sebelum Bella dan Aliff Aziz kahwin. Bella masa ni di China. Tak tahu la Kak Lea kalau kau ada buat tatu baru dik @aliffaziz91.

“Tapi cuma nak jelaskan yang ni sebab kenal sangat gambar ni. Tu karpet dan kaki abang aku tu,” katanya.

Baru-baru ini, Aliff didakwa sebagai penyanyi yang dikaitkan dengan kes curi membabitkan seorang pelakon Indonesia, Raja Yunika Putri.

Pada 17 Jun lalu, Yunika mendedahkan kejadian itu berlaku ketika dia dan artis yang didakwa itu bertemu di Clarke Quay, Singapura pada 7 Jun lalu.

Aliff sebelum ini, memberi bayangan ingin kembali bersama bekas isterinya, Bella Astillah selepas mereka bercerai pada 15 Mei lalu.

Untuk rekod, Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Pelakon itu sebelum ini pernah beberapa kali curang sehingga Bella akhirnya nekad meneruskan kehidupan bersama anak mereka tanpa Aliff. – MalaysiaGazette