Dr Ibrahim Ali mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra di Ulu Kelang.
Dr Ibrahim Ali mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra di Ulu Kelang.

KUALA LUMPUR – Kerjasama Pas dan UMNO tidak boleh diisytiharkan sebagai penyatuan ummah, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Sebaliknya, tegas beliau, gabungan Pas dan UMNO itu hanya kerjasama politik sahaja, tanpa penyertaan parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta Islam yang lain.

“Penyatuan ummah mesti inklusif dan mesti melibatkan semua parti, NGO Melayu dan Islam.

“Bila sebut kerjasama walaupun politik, ia tidak boleh lari dari segi prinsip jalinan, memupuk silaturahim.

“Jadi, kita mengalu-alukan kerjasama Pas-UMNO, tapi kerjasama ini lebih kurang tahaluf siyasi dengan UMNO dahulu, cuma kali ini dibuat secara bertulis dan diluluskan di muktamar Pas semalam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Putra kali kedua di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim, mengikut fahamannya, jika hanya Pas dan UMNO sahaja yang terlibat, ia tidak boleh menyebut sebagai penyatuan ummah, sebaliknya gabungan  kerjasama politik semata-mata.

Katanya, penyatuan ummah meliputi semua pihak secara insklusif sehingga diadakan satu kongres atau persidangan ke arah membentuk penyatuan ummah.

“Amat keliru kalau kita sebut itu penyatuan ummah. Kalau kita katakan Pas dan UMNO perpaduan ummah, jadi, yang lain ini tidak menyokonglah perpaduan ummah.

“Ini adalah kerjasama politik dan Pas-UMNO sebut pun jelas bahawa tahaluf siyasi ialah kerjasama bertulis parti politik seperti tahaluf siyasi Pas dengan DAP sebelum ini,” ujar beliau.

Beliau meminta pihak media apabila menyebut perpaduan ummah supaya lebih berhati-hati kerana untuk ke arah itu ia mesti melibatkan semua pihak, kecuali parti bukan Islam.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau yakin dan percaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau memberi pandangan itu kerana mengikut aturan, perdana menteri mesti dilantik dalam kalangan presiden parti, sedangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang namanya terpalit dengan video hubungan sejenis adalah Timbalan Presiden PKR.

“Untuk tempoh sekarang ini, yang layak menjadi perdana menteri ialah Anwar, bukan Mohamed Azmin. Saya yakin Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

“Bila penyerahan itu, terpulang kepada Dr. Mahathir, tetapi dia berjanji untuk memegangnya selama dua tahun sahaja, dan tempoh itu tinggal tidak sampai satu tahun lagi,” katanya.

Ditanya ada kemungkinan Dr. Mahathir akan membubarkan Dewan Rakyat, Dr. Ibrahim berkata, mustahil bagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berbuat demikian.

Mengenai video yang melibatkan seorang menteri Kabinet mirip Mohamed Azmin, beliau berkata, menteri itu perlu segera membersihkan diri.

“Saya tak nak campur, tapi kerana dah jadi isu nasional, menjadi tarikan banyak pihak, kita desak kerajaan jangan berlengah, jangan berdalih mendakwa pelaku, Haziq Abdul Aziz kerana telah mengaku dialah orang dalam video tersebut.

“Sudah ada laporan polis, kenapa tidak didakwa Haziq ini? Why, why, why? kenapa tidak didakwa.

“Nak berselindung apa lagi? Mana rule of law yang dilaung-laungkan selama ini, sebab dia (Haziq) sudah mengaku dan dia sudah buat laporan polis, apa lagi nak tunggu?” katanya.

Kata beliau, walaupun menteri mirip Mohamed Azmin itu mengatakan itu bukan dirinya dan menafikan sekeras-kerasnya, ada juga pihak tertentu membuat kenyataan bahawa video berkenaan tulen.

Jadi, Mohamed Azmin tidak boleh berdolak dalih, mesti membersihkan dirinya.

“Perkara ini sudah terjadi, namanya sudah dibabitkan, dia kena bersihkan dirinya, dia tidak boleh diam, tak boleh buat tak tahu.

“Dia kena ambil tindakan apa cara sekalipun untuk membersihkan dirinya. Dia boleh mendakwa Haziq dan dia boleh lakukan apa saja untuk bersihkan dirinya termasuk buat sumpah laknat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast