Saifuddin
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan pemantauan mengejut di Pasar Borong Selangor, awal pagi ini bagi menilai pergerakan harga barang selepas tamat tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Saifuddin dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau berkata, pemantauan itu juga bagi menilai kepatuhan terhadap undang-undang pengguna selain mendapatkan maklum balas daripada peniaga dan pengguna.

“Pada pukul 4 pagi hari ini saya telah melawat Pasar Borong Selangor bersama pegawai Nforceteam KPDNHEP.

“Alhamdulilah, hasil pemantauan mendapati harga barangan keperluan masih lebih kurang sama dengan harga semasa tempoh pelaksanaan SHMMP. Bekalan juga mencukupi dan kualiti barangan jualan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pemantauan akan diteruskan secara kerap bagi menangani sebarang pencatutan dan menjaga kebajikan pengguna.

“Para peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya walaupun tempoh SHMMP telah berakhir. Peniaga juga harus patuh terhadap undang-undang pengguna seperti meletakkan tanda harga dan memastikan timbang sukat tepat,” katanya.

Para pengguna juga boleh melaporkan sebarang kenaikan harga secara mendadak atau ketidakpatuhan terhadap undang-undang di laman Facebook KPDNHEP-Laman Rasmi atau platform WhatsApp kementerian iaitu 019-2794317.

Beliau juga berharap dengan kerjasama semua pihak, kos sara hidup di Malaysia akan terus kekal berpatutan.

Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan di bawah SHMMP bersempena Hari Raya Aidilfitri 2019.

SHMMP yang bermula 21 Mei hingga 19 Jun lepas itu antara lain melibatkan barangan seperti ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, dan kacang panjang. – Bernama