Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali secara peribadi yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, cuma bila peralihan kuasa itu berlaku, terletak kepada Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau tidak yakin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dipilih sebagai Perdana Menteri kerana memandangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu hanya memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Media tanya saya adakah mungkin Anwar akan jadi Perdana Menteri? Saya kata, ya. Mungkin. Saya ada kepercayaan Anwar tetap menjadi Perdana Menteri.

“Itu yang saya tahu. Kenapa saya kata begitu? Sebab saya percaya pada kenyataan Dr. Mahathir, dia kata dia akan pegang pada janji dan pula.

“Lebih serius saya kata kenapa Anwar akan dapat jadi Perdana Menteri ialah apa Dr. Mahathir ada dari segi pilihan? Kalau tidak Anwar, siapa lagi yang boleh jadi Perdana Menteri ganti Dr. Mahathir selepas dia letak jawatan, siapa?” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Beliau memberi contoh, dalam edah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ini, calon yang layak untuk jawatan nombor satu negara itu mesti parti dari PH.

Kali ini, katanya, giliran PKR, manakala Dr. Mahathir mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Timbalan Perdana Menteri pula dari PKR (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

Jelas Dr. Ibrahim, dalam PKR pula Anwar adalah Presiden, manakala Mohamed Azmin Timbalan Presiden.

“Tetapi sekarang Mohamed Azmin terpalit pula dengan isu video menjijikkan. Kalau tidak timbul isu video pun mana mungkin Mohamed Azmin boleh jadi Perdana Menteri.

“Selepas Dr. Mahathir berhenti, PH mesti angkat nama untuk siapa layak jadi Perdana Menteri. Mereka kena bawa nama itu ke Majlis Tertinggi PH, dan Anwar pula Pengerusi Majlis PH.

“Walau macam mana pun, saya nampak Anwar juga kena jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, jika calon luar dari PH pula, yang layak ialah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ujar beliau, Tengku Razaleigh atau Ku Li antara yang layak menggantikan tempat Dr. Mahathir ketika suasana negara terumbang ambing sekarang ini.

“Saya bersetuju Ku Li. Dia ada kelayakan sebab dari dulu lagi masalah Ku Li ini tidak ada peluang. Dia bertanding dalam UMNO pun kalah, tubuh Parti Semangat 46 (S46), tidak lama, bubar.

“Ku Li memang layak, sebab semua parti termasuk DAP dan Pas pun setuju dengannya. Kalau media tanya semua orang siapa layak jadi Perdana Menteri, mereka akan kata Ku Li, tapi soalnya dia dapatkan jawatan itu macam mana?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast