Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum antara Pengerusi TEKUN, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md Noor (dua kiri) dan Pengarah Urusan Liziz Standaco, Tan Sri Guok Nguong Peng (dua kanan) pada Majlis Meriahnya Syawal @ MED di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JUN 2019

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Tekun Nasional dengan syarikat Liziz Standaco Sdn Bhd (LSSB) bagi menjayakan program Hab Pemborongan Usahawan Bumiputera Kelantan.

MoU itu dimeterai antara Pengerusi Tekun, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md. Noor dengan Pengarah Urusan LSSB, Tan Sri Guok Nguong Peng pada majlis Rumah Terbuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mohd Redzuan, ketika bercakap kepada pemberita selepas itu berkata, hab pemborongan usahawan itu akan menjadi pusat jualan dan pasaran produk usahawan Tekun serta usahawan Bumiputera.

“Dengan adanya hab ini, kita menjangkakan dapat menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran, mempertingkatkan skala perniagaan dan menggalakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Kira-kira 1,000 kakitangan agensi serta pemegang taruh kementerian itu hadir pada majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Hatta Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Ditanya antara produk yang dipasarkan menerusi hab itu, beliau menjelaskan, ia melibatkan pakaian, makanan proses, aksesori wanita, gajet, aksesori telefon bimbit, produk kesihatan, beg dan kasut.

Selain itu, kata beliau, ia juga akan menempatkan pejabat agensi kerajaan yang berkaitan dengan keusahawanan dan yang berurusan dengan masyarakat setempat.

Beliau turut memberi penekanan komitmen kementeriannya memastikan agenda membangun dan membudayakan keusahawanan diperkasakan dengan lebih sistematik.

“Kita mahu ia lebih berkesan menerusi pelbagai bentuk aktiviti keusahawanan termasuk koperasi sebagai sektor penting yang menyumbang dalam ekonomi negara.

“Selain mampu membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan rakyat secara efektif,” katanya.

Tambah beliau lagi, kementeriannya serius dalam isu menangani kos sara hidup rakyat dan telah membentangkan kertas mengenai peranan koperasi dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Katanya, pembentangan itu dilakukan pada mesyuarat peringkat tertinggi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACOL) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast