Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 25 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mengembangkan program ikan sejuk beku atau QFish ke seluruh negara dalam usaha membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 3/2019 yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Katanya, program itu mengguna pakai teknologi pembekuan ikan secara individu bagi menjamin kualiti dan kesegaran ikan.

“Program QFish ini menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 tan metrik kepada 3,500 tan metrik setahun.

“Ini adalah sistem yang boleh dijayakan untuk menstabilkan harga ikan dan pengurangan kos kepada pengguna, bila ikan berkurangan ketika musim monsun, ikan QFish ini masih boleh didapatkan di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain itu Wan Azizah berkata, NACCOL bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan supaya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menguatkuasakan pelesenan terminal pengangkutan awam darat dan mengawalselia caj yang dikenakan oleh pengendali terminal berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terminal.

Katanya, pelaksanaan cadangan itu juga perlu mengambilkira kepentingan pengguna supaya mereka tidak dibebankan.

Tambah beliau, NACCOL juga menerima cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menyemak semula kadar tambang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) melalui pemansuhan tambang dan pelaksanaan struktur tambang dinamik bagi ETS.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata, NACCOL menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Angkatan Koperasi Kebangsaan akan meneliti pelaksanaan inisiatif Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijangka boleh mengurangkan harga barang, peranan orang tengah selain mengeluarkan sendiri barangan keperluan asas.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan pelantikan lima ahli baharu NACCOL iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawa Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC), Surina Shukri dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Ujarnya, pelantikan ahli baharu itu meliputi anggota kerajaan, tokoh politik dan wakil belia yang mempunyai kepakaran masing dan diayakini dapat membantu dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup. – MalaysiaGazette