Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri menyerahkan sebarang tindakan ke atas mana-mana pertubuhan termasuk parti politik seperti UMNO yang menerima wang secara haram daripada syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada jabatan dan agensi berkaitan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang laporan mengenai salah laku itu yang diajukan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu mempunyai asas yang kukuh.

“Itu terserah kepada pihak pertubuhan, agensi dan jabatan berkenaan untuk meneliti apakah kesan soal itu.

“Sekiranya betul (laporan ambil dana) terhadap organisasi seperti pertubuhan politik (UMNO) dan sebagainya, itu luar sikit daripada batas saya (KDN) dan ada Pendaftar Pertubuhan, pihak polis, mereka akan buat siasatan.

“Apa yang penting mesti ada asas yang kukuh apa yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilifitri Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.

MGF25062019_ MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITIRI IMIGRESEN MALAYSIA06
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Balu Allahyarham Pit Shafice Ibrahim iaitu Hairina Mohd Sani Umar salah seorang anggota Imigresen Malaysia yang berkhidmat selama 36 tahun yang bertugas di Depot Tahanan Imigresen KLIA pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

Beliau mengulas tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) semalam yang menghantar laporan kepada RoS supaya UMNO dikenakan tindakan tegas kerana parti Melayu itu menerima RM212 juta dana daripada 1MDB.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, laporan itu dibuat berdasarkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu tentang wujudnya beberapa cawangan UMNO negeri menerima dana daripada syarikat tersebut untuk kepentingan parti.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang media mendedahkan agensi penguatkuasa itu telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tiga hari lalu.

Menurut Latheefa, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia membabitkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette