Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Fakta dan bukti semakin kukuh apabila segala tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini telah merosakkan negara akibat tadbir urus yang tidak cekap.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, bukan sahaja rakyat terkesan malah negara Jepun yang selama ini menjadi model negara contoh kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga telah hilang keyakinkan kepada Malaysia.

Jelas beliau, Malaysia di bawah pimpinan kerajaan PH sangat ketinggalan sejak kebelakangan ini dengan negara jiran seperti Indonesia yang kini semakin membangun.

“Berdasarkan Laporan Economic Outlook OECD 2019, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah lemah dan tidak berkembang dengan purata 4.6 peratus jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus dan Filipina sebanyak 6.6 peratus.

“Projek mega China seperti Belt and Road Initiative juga dilihat lebih tertumpu di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Singapura kerana dasar mesra pelabur yang lebih terbuka dan insentif ekonomi yang lebih banyak berbanding Malaysia.

“Statistik ini membuktikan kepimpinan kerajaan PH menjadikan Malaysia tidak kompetatif dan lemah daya saing global dalam menarik kemasukan pelabur asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil tinjauan perniagaan di Malaysia dalam kalangan syarikat Jepun yang beroperasi di sini terus merosot pada separuh pertama 2019, namun mereka menjangkakan separuh kedua bertambah baik.

Hasil tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (Jactim) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dari 14 Januari hingga 31 Mac yang meliputi 278 responden sah.

Berdasarkan tinjauan itu, indeks penyebaran keadaan perniagaan merosot 13.7 mata kepada negatif 18.9 mata daripada separuh kedua 2018 pada negatif 5.2 mata yang merupakan tahap terendah sejak separuh kedua 2016.

Najmil menambah, kegagalan dalam menentukan hala tuju, isu politik dalaman, kelemahan mentadbir ekonomi dan perubahan polisi yang drastik telah menyebabkan pelabur tidak lagi yakin dengan Malaysia.

Tegas beliau, masalah itu sudah tentu memberi impak negatif kepada rakyat apabila tiadanya penawaran peluang pekerjaan kerana kurangnya kemasukan pelabur asing dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Menurtnya, Program Transformasi Ekonomi yang dirangka oleh kerajaan BN telah berjaya memacu ekonomi negara apabila Malaysia menduduki tempat ke-24 daripada 190 negara menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018, sekali gus menjadi negara kedua teratas di kalangan negara ASEAN dan keempat terbaik di Asia Pasifik.

“Pada masa yang sama, pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 kerana polisi yang cekap dan berdaya saing global ini.

“Kekayaan negara yang dikumpul selama ini untuk kesejahteraan rakyat semakin merosot akibat daripada kelemahan kerajaan PH yang tidak cekap mentadbir.

“Ke manakah janji kerajaan PH untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia seperti Asian Tiger seperti suatu ketika dahulu? Daya saing global Malaysia kini menjadi taruhan.

“Kini, satu per satu semakin jelas bahawa ianya hanya sebuah retorik politik yang dimainkan PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette