KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mengalihkan tenaga pekerja sektor perladangan kepada warga Afrika amat membimbangkan.
Menterinya, M. Kulasegaran sepatutnya mengkaji cara dan solusi lebih bernas bagaimana untuk memenuhi keperluan sumber manusia terutama membantu warganegara sendiri yang menganggur serta tidak mendapat peluang pekerjaan.
Jelas Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli, umum tahu kebanjiran warga asing dari Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh yang datang secara sah mahupun tidak masih membelenggu pelbagai agensi penguatkuasaan dengan masalah sosial, jenayah serta penyakit berjangkit yang membahayakan.
Oleh itu, katanya, tidak bernas dan sama sekali tidak wajar untuk membuka ruang perjalanan menyesakkan Malaysia dengan lebih ramai lagi kebanjiran warga asing.
“Kementerian Sumber Manusia perlu membuat kajian terperinci untuk menggalakkan semula warganegara Malaysia menceburi sektor perladangan dengan menaik taraf tangga gaji, kebajikan serta melindungi warga kerja dari terus dimanipulasi sektor korporat.
“Tangga gaji yang terlalu rendah serta tiada rasa tanggungjawab melindungi pekerja sektor perladangan khususnya, membuatkan ramai majikan sambil lewa mengupah warga asing kerana tamak dan ingin keuntungan maksimum.
“Kehadiran warga asing terutama pendatang tanpa izin bukan hanya retorik dan sekadar memenuhi ruang buruh atau pekerjaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kulasegaran semalam, bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang.
Menurut menteri itu, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.
Menurut Dr. Asmah, kesan jangka panjang dalam negara harus diteliti, pelbagai masalah sosial, kes kes jenayah, penyakit berjangkit seperti batuk kering, campak dan penyakit bawaan migrasi ini amat merisaukan.
Katanya, dominasi warga asing akan merubah landskap populasi warganegara, walaupun mereka ingin mencari sesuap nasi, namun bagaimana nasib warganegara Malaysia sendiri?
“Wirawati Putra berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Kementerian Sumber Manusia mula berpegang kepada janji satu juta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan mula mencari jalan memperbaiki kelemahan sistem buruh negara.
“Tindakan lebih wajar adalah banteras golongan lebih lebih juta Pati yang bermaharajalela, termasuk menghantar balik warga asing yang telah melakukan jenayah dan dihukum supaya tidak menyesakkan Malaysia yang tenat ini.
“Siapa tidak mahu kerja jika bayaran dan kebajikannya setimpal? Tepuk dada tanya selera,” katanya. – MalaysiaGazette















