Shafie Ngah

KUALA LUMPUR – Pas kawasan Bangi menyahut keputusan Majlis Syura Ulamak parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO di peringkat kawasan dan negeri.

Yang Dipertuanya, Shafie Ngah berkata, sejak kerjasama itu dimeterai, ia memperlihatkan kesan positif dengan ahli dan penyokong kedua parti menerima antara satu sama lain.

“Kerjasama ini merupakan satu kerjasama positif dan perlu diterima oleh rakyat terutama ahli Pas dan UMNO di seluruh negara.

“Perjuangan yang kita laungkan ini bukanlah untuk mendapatkan kuasa semata-mata, tetapi lebih kepada perjuangan menegakkan agama Islam dan mempertahankan kedaulatan sistem beraja yang semakin tercalar,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, untuk itu Pas dan UMNO perlu bersatu dalam mempertahan agama Islam.

Shafie turut memuji Pas kawasan dan cawangan itu kerana berjaya menyahut seruan pimpinan parti peringkat pusat untuk bekerjasama dengan UMNO.

Pada masa sama, beliau turut mempelawa untuk memeriahkan majlis sambutan dan Jamuan Raya Perpaduan Ummah peringkat Parlimen Bangi yang akan diadakan esok, 30 Jun.

“Saya jemput semua ahli, penyokong dan penduduk setempat hadir ke Seksyen 3 Tambahan pada Ahad ini untuk bersama memeriahkan jamuan Raya Perpaduan Ummah peringkat Parlimen Bangi.

“Ramai pimpinan peringkat nasional sama ada dari Pas dan UMNO akan sama-sama hadir bagi menunjukkan kesatuan dan kerjasama dalam mempertahankan agama dan sistem beraja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast