KUALA LUMPUR – Dua UMNO Bahagian di Kelantan yang masing-masing ketuanya telah melompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tahun lalu, dilihat makin kuat dan bersemangat.
Ini diakui Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa yang menghadiri Rumah Terbuka UMNO Bahagian Tanah Merah dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli, semalam.
Katanya, di Tanah Merah tanpa bekas Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz ribuan rakyat dalam kawasan Parlimen itu hadir untuk mengeratkan silaturahim sempena Syawal.
Begitu juga, kata beliau, mesyuarat UMNO Bahagian Jeli turut menyaksikan kehadiran ahli di luar jangkaan termasuk pemimpin Pas kawasan yang meraikan kerjasama antara UMNO dengan Pas.
Bekas Ketua Bahagian Jeli, Datuk Mustapa Mohamad keluar UMNO pada September tahun lalu untuk menyertai PPBM.

Sejak kedua-duanya keluar parti, UMNO Bahagian Tanah Merah dipangku Timbalan Ketuanya, Mohd Almidi Jaafar, manakala UMNO Bahagian Jeli dipangku Timbalan Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Derashid.
“UMNO Bahagian Tanah Merah dan Bahagian Jeli langsung tidak tergugat dengan tindakan ketua mereka keluar parti, malah sambutan yang ditunjukkan ahli di luar jangkaan,” katanya menerusi Twitter beliau semalam.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli dirasmikan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Tanah Merah. – MalaysiaGazette
















