Prof Madya Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Hasrat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memimpin semula parti UMNO hanya akan memberi ‘liabiliti’ berpanjangan kepada parti keramat orang Melayu itu.

Demikian pandangan Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir apabila melahirkan kehairanan terhadap pengumuman Ahli Parlimen Bagan Datok itu yang mahu memimpin semula parti selepas bercuti selama enam bulan.

Menurut beliau, kemunculan kembali Ahmad Zahid yang kini berdepan dengan banyak pertuduhan di mahkamah hanya akan merencatkan usaha pemulihan yang dilakukan oleh pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Saya hairan dengan langkah yang diambil oleh Datuk Seri Ahmad Zahid. Patutnya beliau berada dibelakang sahaja sebab Tok Mat Hassan pun dah melakukan yang terbaik.

“Hakikatnya kalau kita perhatikan sejak dibawah kepimpinan Tok Mat, saya fikir UMNO sedikit demi sedikit dapat dipulihkan dengan kepimpimnan dan kewibawaan beliau yang penuh efektif.

“Sedangkan Ahmad Zahid ini belum dibersihkan oleh mahkamah dengan persepsi umum yang tidak memihak kepada beliau, maka saya fikir tidak mudah untuk beliau bergerak kehadapan dan memulihkan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Ahmad Zahid pada Ahad lalu yang menyatakan hasratnya untuk kembali memimpin semula UMNO.

Jeniri menegaskan, pada masa ini UMNO perlu dipimpin oleh individu yang betul-betul berwibawa dan bukan dibiar untuk dikemudi oleh seseorang yang dilihat ampuh daripada pelbagai sudut.

Dengan merujuk kepada Ahmad Zahid, Jeniri berkata, Presiden UMNO yang sepatutnya terus bercuti sehingga kes mahkamah selesai boleh melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh Mohamad ketika ketiadannya.

Katanya, beliau yakin kepimpinan yang ditunjukkan Mohamad telah menunjukkan kesan dan ramai penyokong UMNO mahupun orang luar berpuas hati terhadap prestasi pemulihan yang telah ditunjukkan olehnya.

“Kalau beliau (Ahmad Zahid) nak lihat UMNO terus berada dihadapan maka beliau kena beri sokongan pada Tok Mat.

“Dia tak perlu masuk kembali memandangkan beban terhadap kes-kes yang dihadapi olehnya. Fokus sahaja kepada kes-kesnya yang begitu banyak melingkari beliau ketika ini.

“Tidak mudah membersihkan imej yang sudah terpalit. UMNO memerlukan pemimpin yang mempunyai kuasa kepimpinan yang menyerlah ketika ini,” ujarnya.

Katanya lagi, UMNO perlu bersungguh-sungguh untuk memulihkan dirinya jika hendak diterima oleh rakyat kerana yang akan memilih semasa mengundi bukan sahaja ahli UMNO sebaliknya pengundi yang mungkin tidak berparti.

“Dan melangkah kehadapan satu cara yang baik. Zahid perlu berada di belakang dan biarkan siapa yang diberi kepercayaan oleh parti untuk memimpin,” tegas beliau. – MalaysiaGazette