Arjuna Putera Ali
Arjuna Putera Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengutuk keras tindakan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong mempertikai dan mempersoalkan penggunaan nombor pendaftaran TMJ dan RZ untuk kenderaan diraja Johor.

Ahli Dewan Tertinggi Putra, Arjuna Putera Ali berkata, tindakan itu amat biadab, kurang ajar dan kenyataan itu menggambarkan seolah DAP mempunyai agenda tersembunyi terhadap institusi diraja Johor.

“Mungkinkah Ahli Parlimen DAP ini sengaja hendak menimbulkan kemarahan rakyat kononnya Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan Yang Mulia Raja Zarith (RZ) melanggar undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?

“Putra Pusat dan Johor memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kesucian dan imej institusi beraja di negara ini. Adalah tidak wajar seorang berstatus Ahli Parlimen dari DAP mempersoalkan pemasangan plat TMJ dan RZ.

“Dia secara jelas mempersenda TMJ dan RZ yang merupakan sebahagian dari institusi diraja Johor. Negara kita mengamalkan Raja Berperlembagaan dan raja adalah ketua negeri dan berdaulat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Iskandar Puteri semalam, pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Johor membawa usul tergempar berkenaan soalan lisan Hok Liong di Dewan Rakyat berkaitan nombor plat TMJ dan RZ yang menghina Institusi Diraja Johor untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, usul tergempar itu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad ditolak Speaker DUN, Suhaizan Kaiat yang berpendapat ia tidak perlu disegerakan biarpun perkara itu dianggap penting.

Tindakan Suhaizan itu membuat barisan pembangkang kecewa kerana isu berkenaan tidak sewajarnya dibangkitkan seorang Ahli Parlimen dari negeri ini dan boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap Institusi Diraja Johor.

Arjuna Putera yang juga Setiausaha Penyelaras Putra Johor berkata, mana-mana pihak yang tidak tahu mengenal budi di mana langit dijunjung di situ bumi di pijak boleh berambus dari Johor atau Malaysia.

Di Johor, katanya ada tertib, adat, santun dan ini adalah warisan budaya bangsa turun temurun.

Mengenai kenyataan bertulis Kementerian Pengangkutan berhubung isu kebiadapan Hok Liong, adalah jelas dan nyata penggunaan plat khas untuk institusi beraja adalah dibenarkan dan sah.

Ini secara tidak langsung membuktikan kementerian sendiri telah sembah maklum berkenaan agenda licik yang dipengaruhi oleh tangan ghaib yang mempunyai unsur kepentingan politik.

Bagaimanapun, kata beliau, Putra bersetuju setiap soalan ditanya oleh DAP tidak dijawab sepenuhnya, terutama tujuan sebenar soalan dikemukakan dari Hok Liong.

“Ini bertujuan mengelak salah faham dan kekeliruan yang timbul di kalangan rakyat,” katanya.

Putra katanya, mengingatkan Sejarah Kesultanan Melayu telah memperjelaskan institusi beraja adalah tuan tanah yang berkongsi kemakmuran dengan rakyat melalui ikatan Persekutuan Tanah Melayu yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun.

“Justeru, tindakan dirancang seperti ini sebenarnya strategi licik untuk mengelirukan rakyat antara konsep liberalisme atau sama rata dan Kedaulatan Institusi Beraja Melayu.

“Putra sekali lagi ingin bertanya, kenapa tidak persoalkan nombor plat khas kereta ATM? Kenapa guna Z, ZA, ZD ataupun ZZ untuk Mindef?

“Sebab antara lain tujuannya membezakan sesuatu fungsi, organisasi dan institusi yang diwakili sesuatu entiti. Lebih lagi Institusi beraja yang merupakan pemilik tanah berdaulat,” katanya

Begitu juga persoalan nombot pendaftaran khas seperti OIC, SUKOM, BAMBEE, PATRIOT, 1M4U dan banyak lagi, mengapa tidak persoalkan.

“Selaku ADT Putra, saya mengutuk keras taktik licik berkepentingan politik ini yang bertujuan mencemar kesucian dan imej institusi beraja.

“Saya juga mendesak agar tarik balik soalan bodoh tersebut dan kenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

“Mohon maaf? Itu adalah salah satu taktik untuk ‘test market’ yang telah dilakukan berulang kali. Bersikap kurang ajar kemudian minta maaf. Mudah saja,” katanya.

Beliau berkata, Putra menolak dengan cara minta maaf jika membabit agama Islam, kaum Bumiputra dan institusi raja.

Katanya, seorang pemimpin berstatus wakil rakyat semestinya tahu risiko pernyataan mereka. – MalaysiaGazette