Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Teresa Kok hari ini menyatakan rasa terkejut dengan penularan sebuah video klip kempen anti kelapa sawit melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dalam media sosial baru- baru ini.

Menteri Industri Utama itu berkata, sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara didakwa menanam rasa kebencian dalam diri murid terhadap komoditi utama negara itu.

“Satu sekolah antarabangsa di KL, mereka adakan satu pertunjukan di mana pelajar-pelajar tersebut keluar membantah penanaman sawit dan mengaitkan dengan penebangan hutan dan pokok.

“Saya menyeru sekolah itu menghentikan segera semua tindakan menyemai fikiran benci kelapa sawit, seperti apa yang dilakukan di Eropah terhadap sawit kita,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Teresa menyeru pihak guru yang terlibat supaya tampil untuk memahami usaha- usaha penambahbaikan industri dan semua usaha pemeliharaan alam sekitar oleh pemain industri kelapa sawit.

“Mereka tidak seharusnya menyemai fikiran yang benci dan anti sawit di kalangan pelajar Malaysia.

“Kita sudah buat bantahan dan protes terhadap apa yang dibuat luar negara khususnya di negara Eropah. Saya tak dapat bayangkan perkara macam ini dilakukan di sekolah antarabangsa kita,” ujarnya.

Beliau menasihati para guru sekolah seharusnya memahami inisiatif kerajaan dalam perkara ini daripada terus mengkritik kementerian dan menggunakan sekolah platform menyebarkan maklumat tidak benar terhadap pelajar.- MalaysiaGazette