KUALA LUMPUR – Kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menerajui semula parti setelah bercuti hampir enam bulan mampu melonjak semula kepercayaan rakyat.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Selangor, Datuk Rosni Sohar berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan tinggi kepada keupayaan Ahmad Zahid bagi memastikan parti itu kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat dalam PRU-15.
“Wanita Selangor percaya bahawa kembalinya Datuk Seri Zahid sebagai presiden akan membawa formula baru yang boleh melonjak momentum kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“(Beri kelebihan) di saat pelbagai isu serta kemelut yang timbul dari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kami yakin presiden parti dapat mengemudi UMNO dengan baik bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memangku tugas beliau dengan baik sebelum ini.
“Ditambah pula dengan barisan kepimpinan tertinggi parti yang lain dalam memastikan kedudukan UMNO terus kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan Ahmad Zahid yang mengumumkan menamatkan cutinya sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO berkuatkuasa Ahad lalu.
Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Perak pada Ahad.
Rosni juga berkata, UMNO hanya akan jadi parti politik yang kuat sekiranya mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua ahlinya.
“Kepercayaan penuh diberikan oleh ahli kepada presiden parti ini diharap dapat diterjemah untuk menjadikan UMNO satu parti yang kuat dan kukuh.
“(Lebih kukuh) dengan rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan juga sahabat penyatuan UMMAH, PAS dalam persiapan menuju PRU15 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















