Dr. Amin Senin

KUALA LUMPUR – Penglibatan murid dalam aktiviti berbentuk propaganda, seperti menanamkan sikap benci terhadap perladangan sawit, adalah bertentangan dengan dasar negara.

Malah tindakan tersebut boleh menjejaskan nama baik negara.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkata, siasatan telah dijalankan ke atas sekolah yang terlibat dan tindakan berdasarkan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta550) akan diambil ke atas institusi pendidikan swasta tersebut.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir propaganda dan indoktrinasi di institusi pendidikan swasta yang memburukkan imej dan nama negara,” katanya dalam kenyataan sambil menambah aktiviti itu berlaku pada bulan lalu.

Semalam, Menteri Industri Utama, Teresa Kok menyatakan rasa terkejut dengan penularan sebuah video klip kempen anti kelapa sawit melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dalam media sosial baru- baru ini.

Teresa berkata, sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara didakwa menanam rasa kebencian dalam diri murid terhadap komoditi utama negara itu.

“Satu sekolah antarabangsa di KL, mereka adakan satu pertunjukan di mana pelajar-pelajar tersebut keluar membantah penanaman sawit dan mengaitkan dengan penebangan hutan dan pokok,” ujarnya.

Beliau menambah, KPM memandang serius aktiviti berbentuk propaganda anti minyak sawit di sekolah antarabangsa itu.

Menurut Dr. Amin, KPM juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah antarabangsa untuk memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/02/teresa-kesal-ada-sekolah-antarabangsa-didik-pelajar-benci-sawit/