Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR –  Polis telah menahan 1,401 warganegara asing sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019, kerana terlibat dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan dibuat di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, 1,167, perempuan dan 234 (lelaki).

“Warganegara Vietnam merupakan pecahan terbesar yang ditangkap, iaitu seramai 317 orang merangkumi 309 perempuan dan lapan lelaki, diikuti Thailand seramai 275 orang, merangkumi 266 perempuan dan sembilan lelaki, sementara China seramai 227 orang merangkumi 213 perempuan dan 14 lelaki.

“Polis Kuala Lumpur turut membuat sebanyak 569 tangkapan ke atas warga tempatan yang terdiri daripada 242 orang perempuan, yang terlibat dengan kegiatan pelacuran dan 327 lelaki yang merupakan penjaga premis yang menjalankan kegiatan pelacuran, sepanjang Januari hingga Jun 2019,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mazlan berkata, tindakan saman untuk premis yang tidak mempunyai lesen dan melanggar syarat pusat hiburan di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Hiburan turut dikeluarkan iaitu sebanyak 136 saman.

Untuk tempoh sama, pihak polis juga turut giat memerangi kegiatan perjudian dalam talian (JOL) dan berjaya menangkap seramai 794 orang, kerana terlibat dengan kegiatan itu.

Sebanyak 89 serbuan telah diadakan dan pihak polis berjaya merampas wang tunai RM98,357 dan 111 buah tablet, 1,100 buah telefon, dua buah Ipad, 333 buah komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router serta tiga simulator.

Sementara itu, sebanyak 388 tangkapan dalam tempoh sama melibatkan kegiatan lain-lain jenis perjudian dengan nilai barang rampasan berjumlah RM97,393 telah diperolehi dalam serbuan-serbuan tersebut.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Undang-Undang Pencegahan Jenayah sedia ada, terhadap tauke judi dan orang tengah (runner) dalam usaha memerangi aktiviti JOL selaras dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM.

Polis Kuala Lumpur turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dan kegiatan pelacuran, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette