PASIR PUTEH – Seorang murid darjah enam dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dilaporkan meninggal dunia serta merta apabila terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis di sini, hari ini.

Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dipercayai berdiri bersama-sama rakan di dalam bas di sebelah hadapan berhampiran tangga kemudian terjatuh di jalan raya selepas lantainya jerlus pada kejadian 12.50 tengah hari ketika dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu.

Penyelaras bengkel berkenaan yang tidak mahu disebut namanya berkata, mangsa dalam perjalanan untuk menyertai bengkel selama dua hari itu.

“Saya difahamkan terdapat lantai berlubang di tangga bas itu yang hanya ditutup sesuatu tetapi saya tidak pasti ditutup dengan apa dan tidak mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, pihak polis di sini gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pihak keluarga enggan ditemui.

Ketika ini pihak media dilaporkan menunggu pegawai Jabatan Pendidikan yang dikatakan akan ke Hospital Tengku Anis untuk melihat jenazah dan bertemu keluarga. – Bernama