Home Seni Hidup Song-Song sedang agih harta bersama

Song-Song sedang agih harta bersama

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini berita tentang penceraian pasangan selebriti Korea popular, Song Hye-kyo dan Song Joong-ki tersebar meluas.

Terbaharu, mereka yang mendirikan rumah tangga sejak dua tahun itu dilaporkan sedang dalam proses membincangkan agihan harta yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Pasangan yang dikenali sebagai ‘Song-Song Couple’ ini dipercayai mempunyai aset bersama sebanyak AS$86.5 juta (RM358 juta).

Aset hartanah yang dimiliki Hye-kyo dilaporkan lebih mewah berbanding bekas suaminya memandangkan dia terlebih dahulu melibatkan diri dalam bidang hiburan.

Aktres cantik itu mempunyai tiga kediaman di Samseong, Seoul dengan nilai kekayaan sebanyak AS$17.8 juta (RM74 juta).

Selain itu, pelakon Autumn in My Heart itu turut memiliki sebuah villa berharga AS$2.6 juta (RM10.8 juta) dan sebuah lagi rumah agam yang dibelinya pada 2017 berharga AS$7.9 juta (RM33 juta). Dia turut memiliki sebuah kondominium di New York berharga AS$1.7 juta (RM7 juta).

Joong-ki pula dilaporkan mempunyai kekayaan menerusi aset hartanah berjumlah AS$22 juta dan rumah persinggahan pasangan itu di Itaewon dianggarkan berharga AS$8.6 juta (RM36 juta).

Untuk rekod Hye-yo, 37, dan Joong-ki berkahwin pada 31 Oktober 2017 dalam sebuah majlis tertutup di The Shilla Hotel, Seoul.-MalaysiaGazette