KAHERAH – Pendakwaraya Mesir menahan reman anak perempuan cendiakawan Islam terkenal, Yusuf al-Qaradawi selama 15 hari sementara menunggu siasatan selanjutnya terhadap dakwaan baharu terhadapnya, menurut peguam beliau.

Ola al-Qaradawi, 55, ditahan hanya beberapa jam selepas beliau dibebaskan.

Peguam beliau, Ahmed Medi memberitahu wartawan bahawa beliau berhadapan dengan pertuduhan ‘menyertai sebuah kumpulan pengganas’.

Membantah keputusan tersebut, peguam itu berkata, anak guamnya telah melakukan mogok lapar.

Pada Ahad lalu, keluarga Ola meminta beliau dibebaskan selepas menghabiskan masa selama dua tahun dalam penjara, tempoh maksimum reman.

Pada Jun 2017, pihak berkuasa Mesir menahan Ola bersama suaminya di kediaman mereka. Beliau kemudian dituduh mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.

Pada Oktober tahun lalu, keluarga Ola berkata, keadaan kesihatannya menurun ketika berada dalam tahanan. – Agensi