Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas mencabar Datuk A. Kadir Jasin turut menempelak beberapa portal berita ternama yang dijadikan rujukan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi untuk menghasilkan sebuah artikel bertajuk, “400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Billion Aset Negara“.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak adil penasihat media Pakatan Harapan (PH) itu mengecam Abdul Muein, tetapi tidak pada portal seperti Reuters, The Edge Market, Deal Street Asia, Astro Awani, The Malaysian Reserve dan banyak lagi yang turut memuatkan berita berkaitan penjualan aset negara.

“Apa kita lihat tulisan itu penuh sarat dengan hujahan bernas dan fakta termasuk artikel sokongan sebagai rujukan daripada portal berita ternama itu.

“Saya percaya Abdul Muein dan ramai ahli akademik menghargai kebebasan bersuara yang dikecapi sekarang dan atas dasar itu, saya percaya kritikannya terhadap kerajaan lebih bersifat teguran yang konstruktif.

“Teguran supaya kerajaan PH lebih peka terhadap keadaan ekonomi negara dan ke mana arah untuk memacunya agar lebih berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, A. Kadir membidas tulisan Abdul Muein yang mengkritik keras kerajaan PH kerana dakwanya menjual harta negara.

Wartawan veteran itu berkata, pensyarah berkenaan yang memuat naik status di laman facebooknya Selasa lalu sebagai hujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik yang menabur fitnah.

Jelas Muhammad Khalil, tindakan A. Kadir itu jelas menunjukkan janji kebebasan bersuara akademik dan media yang diutarakan PH sebelum ini hanya retorik semata-mata.

Katanya, tidak cukup dengan menempelak, saya sarankan A. Kadir menggesa kerajaan PH menyaman ataupun menggantung lesen semua portal media utama tersebut kerana menyiarkan berita tidak benar.

“Adalah tidak memadai meminta UKM mahupun Kementerian Pendidikan memantau kualiti hujahan mahupun kecenderungan akademik seorang pensyarah seperti Abdul Muein.

“Ini kerana tulisan beliau yang mengambil fakta mahupun sandaran daripada portal utama patut juga diambil kira. Adakah portal media tersebut menyebarkan fitnah atau berita palsu dan tidak mahu siasatkah kecenderungan politik portal tersebut?

“Saya rasa ramai wartawan yang beretika dan bersandarkan fakta ketika melaporkan atau menulis berita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sebagai seorang pensyarah kanan di UKM, sudah tentu Abdul Muein cukup berhati-hati dalam mengambil sumber, mengkaji serta menulis seperti apa yang ditulisnya agar tidak dikategorikan sebagai fitnah dan penyebar kepalsuan.

Namun, katanya jika hanya agenda menjual aset negara yang menjadi keutamaan untuk menampung keperluan perbelanjaan kerajaan, bukan meneroka pasaran dan cabang ekonomi baru, adalah logik dan munasabah hutang negara mampu mencecah RM1 trilion tidak lama lagi seperti didakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Sebagai wartawan yang cukup berpengalaman dan senior serta berjawatan sebagai Penasihat Media Perdana Menteri, saya rasakan A. Kadir patut terbuka dan berlapang dada ketika kerajaan ditegur.

“Seharusnya, jika benar apa yang ditulis Abdul Muein atau yang dilaporkan oleh portal media utama tersebut tidak benar dan fitnah, awal-awal lagi beliau boleh ambil tindakan seperti menghentikan sebaran berita tersebut dan menyaman portal media berkenaan kerana menyebarkan berita palsu.

“Malah ada berita berkenaan sudah berbulan lamanya. Mengapa selepas Abdul Muein mengkaji, mengulas dan menulis baru dikatakan tidak berasas dan penyebar fitnah?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast