Najib Razak

KUALA LUMPUR – Gabungan parti Pakatan Harapan diminta terlebih dahulu mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Secara sinis, Datuk Seri Najib Razak berkata: “Nak jemput parti Melayu masuk Bersatu? UMNO masuk sekali? Aik. Pulak dah”

“DAP, PAN, PKR komen dulu lah,” katanya.

Perdana Menteri dalam kenyataannya yang dibuat semalam berkata, ia merupakan usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Ini kerana kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di sini.

Dr Mahathir turut mengingatkan barisan kepimpinan parti supaya menjadikan episod kekalahan UMNO di Johor yang digelar sebagai kubu kuat parti berkenaan sebagai satu pengajaran.- MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/05/dr-mahathir-pelawa-semua-parti-melayu-sertai-bersatu/