Volodymyr Tsemak. foto Agensi

KIEV – Seorang bekas komander pemisah yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian menembak jatuh pesawat MH17 telah ditangkap di timur Ukraine dan diseludup ke wilayah kawalan kerajaan.

Vladimir Tsemakh, 58, ditangkap oleh ejen Ukraine dari Donetsk yang menyokong Rusia pada 27 Jun, kata saudara maranya.

Dia sebelum ini merupakan pemerintah pertahanan anti-pesawat di Snizhne, yang menurut siasatan antarabangsa kawasan itu berhampiran dengan lokasi peluru berpandu Rusia menembak jatuh pesawat MH17.

Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, kesemua 298 orang penumpang terbunuh.

Media Ukraine melaporkan Tsemakh mungkin merupakan saksi bernilai dalam siasatan antarabangsa itu tetapi pihak berkuasa dikatakan enggan mengulas.

Keluarga pula mendakwa Kiev ada rancangan untuk ‘mengenakan’ Tsemakh.

Bulan lalu, penyiasat Belanda mendakwa tuduhan pembunuhan terhadap tiga pejuang pemisah Rusia dan seorang dari Ukraine menembak jatuh pesawat malang itu dari sempadan Rusia ke tapak tembakan.

Menurut salinan kepada perintah mahkamah yang ditular di media sosial, Tsemakh adalah suspek yang mewujudkan kumpulan pemberontak yang boleh dikenakan hukuman sehingga 15 tahun penjara.

Saudara-maranya juga mendakwaTsemakh hanya bertanggungjawab terhadap pertahanan udara Snizhne pada bulan Oktober 2014.

Manakala, Alexander Borodai, seorang perunding Moscow yang ketika itu menjadi ketua perisytiharan Donetsk berkata, kumpulan pemisah di Snizhne tidak mempunyai senjata anti-pesawat .

Tetapi Igor Strelkov, ketua tentera pemisah pada tahun 2014 dan salah seorang Rusia yang dituduh oleh penyiasat bulan lepas dalam sebuah catatan media sosial berkata, Tsemakh adalah “komander pertahanan anti-pesawat di bandar Snizhne pada Julai-Ogos 2014.

Beliau juga mendakwa pertahanan ini hanya terdiri daripada meriam dan senapang mesin automatik, dengan alasan Tsemakh dan pejuang pemisah lain “tidak ada kena mengena” dengan menembak jatuh MH17. – MalaysiaGazette