KUALA LUMPUR – Daripada menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), lebih baik orang Melayu dan Islam bersama parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Jelas Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali, perjuangan Putra amat relevan dengan tuntutan semasa politik Melayu, Islam terkini kerana bersih dan sihat.
“Parti yang sakit tenat dan pokoknya sudah lama (UMNO), manakala parti yng ibarat pokoknya banyak bunga, tetapi tidak berbuah (PPBM) mesti diganti dengan yang sihat dan subur (Putra).
“Putra adalah parti yang ditakdirkan lahir atas kehendak Allah demi kesinambungan kepimpinan dan perjuangan umat Melayu Islam yang punah ranah sebelum ini atas sebab semua pihak sedia maklum.
“Walaupun baharu dengan nama Putra, ia membawa seribu makna seperti hujung nama kepada Almarhun Tunku Ab Rahman Putra, Putrajaya dan Putra World Trade Centre (PWTC) serta lambang tanjak tanda Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai PPBM dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.
Pengerusi Bersatu itu berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.
“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO, tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).
“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus, tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” kata Dr. Mahathir.
Menurut Dr. Ibrahim, cukup sudah pengajaran yang umat Melayu Islam dan Bumiputera alami serta lalui selama ini dengan titisan air mata di bumi sendiri akibat hipokrasi kepimpinan parti lama.
Katanya, belum terlambat untuk bangsa Melayu bersatu di bawah satu bumbung iaitu Putra, sebelum bumi dipijak orang walaupun Melayu tidak akan hilang di dunia. – MalaysiaGazette
















