Dr. Asyraf Wajdi
Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan seorang pemimpin yang setia kepada parti termasuk ketika menjalankan tugas-tugas presiden semalam enam bulan.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat tidak pernah merancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Datuk Seri Najib  Razak.

Katanya, Tok Mat telah menunjukkan kepimpinan yang baik dan cemerlang sepanjang Presiden UMNO bercuti.

“Sepanjang enam bulan memangku atau menjalankan tugas Presiden ini, tidak ada sama sekali niat atau usaha dari beliau hendak menyingkirkan ketua dan bekas ketuanya walau dengan apa cara sekalipun.

“Bahkan, Tok Mat orang pertama mengalu-alukan keputusan Ahmad Zahid untuk menamatkan cuti dan kembali menerajui parti,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rasah di Negeri Sembilan hari ini.

Asyraf Wajdi turut menjelaskan kepada perwakilan dan ahli UMNO bahawa tidak wujud sebarang team dalam parti itu selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ujar beliau, walaupun heboh mengatakan UMNO kini terbahagi kepada empat team iaitu Team A, B, C dan D, sebenarnya itu hanya fitnah dan mainan pihak yang iri hati dengan kekuatan parti.

“Ada yang kata UMNO kini sudah ada banyak team, Team Najib, Team Zahid, Team Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Team Tengku Razaleigh.

“Saya hendak nyatakan di sini, semua team itu tidak wujud. Yang ada hanya team UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast