KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak perlu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tegas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.
Katanya, kerjasama dua parti politik Melayu Islam ini sudah cukup ke arah perpaduan ummah, yang menjadi keutamaan bagi semua rakyat Malaysia demi membina negara lebih maju.
“Saya teguh setia bersama UMNO dan Pas ke arah perpaduan ummah. Kita ketepikan perbezaan, ketepikan perpecahan dan kita sama-sama fokus untuk memantapkan penyatuan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Mengenai ucapan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengajak orang Melayu menyertai parti itu, Armand Azha berkata, sejak awal lagi konsisten menyatakan Islam, Melayu dan Bumiputera harus bersatu demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Bahkan, ujarnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat rasakan tidak salah, malah bersemangat hendak cuba menukar kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
“Dorongan itu disebabkan kerana janji manis PH. Tetapi paling utama bila parti komponen PH menyatakan mereka juga akan menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air sama seperti UMNO, malah lebih baik.
“Akhirnya rakyat membuat keputusan untuk mencuba, malangnya, selepas PRU14 dan setahun diberi mandat, rakyat mula sedar apa yang mereka harapkan kepada PH tidak jadi kenyataan.
“Ekonomi makin lemah, kos sara hidup makin tinggi, janji PRU14 tinggal janji dan paling utama kini rakyat lihat bila kepentingan agama dan bangsa dilihat mula dicarik-carik oleh kerajaan,” katanya.
Paling menyedihkan katanya, pimpinan PH yang Melayu dan beragama Islam dilihat diam berpeluk tubuh walaupun nampak apa yang berlaku.
Katanya, penyokong PH yang dahulu kuat hentam BN, kini dilihat berdiam diri kerana dalam hati tahu mereka telah buat kesilapan.
Kata Armand Azha, selepas 9 Mei 2018, UMNO dan BN teruk dihina dan dikeji, malah paling menyedihkan ramai kawan yang dahulunya dilihat baik telah berubah serta beralih sokongan.
“Bukan sekadar tinggalkan UMNO, mereka bangga menghina UMNO kerana nak tunjukkan pada PH, yang mereka kini sokong parti pakatan.
“UMNO dan BN pula istiqamah dalam perjuangan serta konsisten nyatakan agar kepentingan agama, bangsa dan tanah air adalah agenda utama.
“Ini kerana sepanjang zaman pemerintahan UMNO dan BN, kita sentiasa berpegang pada Perlembagaan Negara. Jika kita nilaikan ianya ada roh Piagam Madinah,” katanya.
UMNO bangkit mengorak langkah untuk mendapatkan sokongan rakyat dengan mengadakan kerjasama atau penyatuan ummah bersama Pas.
Katanya, kedua-dua parti Melayu Islam terbesar mula berbincang dan duduk semeja demi perpaduan ummah.
“Mulanya ramai tidak yakin UMNO dan Pas boleh duduk semeja, tetapi hari ini landskap politik negara sudah berubah dan sokongan rakyat terhadap penyatuan ummah makin diterima oleh jutaan rakyat Malaysia.
“Laungan #PerpaduanUmmah menjadi igauan ngeri PH kerana boleh dirasai gelombang itu bertiup di seluruh pelosok negara.
“Lebih menakutkan PH bila UMNO dan Pas nyatakan akan keluarkan Piagam Perpaduan Ummah tidak lama lagi mengenai kerjasama kedua parti itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















