Gambar hiasan

JAKARTA – Kementerian Pengangkutan Indonesia mewajibkan semua syarikat pengangkutan awam memasang peranti sistem kedudukan global (GPS) pada setiap kenderaan bagi memudahkan pemantauan ketika operasi.

“Melalui GPS, kita boleh mengetahui di mana kenderaan tersebut berhenti. Kita juga boleh melihat prestasi pemandu, bagaimana mereka mengendalikan kenderaan tersebut dan kadar kelajuan kenderaan,” kata Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Ahmad Yani.

Syarat mewajibkan pemasangan peranti GPS oleh pengendali semua pengangkutan awam termaktub di bawah Peraturan Ketua Pengarah Pengangkutan Darat No. KP.2081/AJ.801/DRJD/2019.

Peraturan baharu itu juga mewajibkan peranti berkenaan mesti menyediakan maklumat berhubung kedudukan semasa kenderaan melalui Google Maps, data odometer ke atas kelajuan kenderaan, lokasi pengambilan penumpang dan destinasi, laluan transit, waktu transit, rekod transit untuk tujuh hari dan amaran mengenai pemanduan melebihi had kelajuan.

Tambah Ahmad Yani, kewajiban memasang GPS itu turut memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat pengangkutan untuk meningkatkan keberkesanan.

Peraturan baharu itu disambut baik oleh Pengerusi Persatuan Pengendali Bas Indonesia, Kurnia Lesani Adnan yang bersetuju, ia mampu meningkatkan keberkesanan operasi bas.

“Ia akan meningkatkan keberkesanan kerana tiada lagi salah guna kenderaan akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, syarikat-syarikat terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk memasang semua peralatan yang telah ditetapkan di bawah peraturan tersebut.- Agensi