KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara mempersoalkan tindakan pendakwaan merayu hukuman lebih berat dikenakan ke atas penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin sehingga dijatuhkan hukuman satu tahun penjara atas tuduhan menghasut dan menghina institusi raja.
Timbalan Ketua Pemuda, Faiz Fadzil berkata, beliau terkejut dengan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan di bawah Akta Hasutan.
Katanya, tindakan pendakwaan itu tidak konsisten dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan undang-undang drakonian tersebut.
“Kita harap hukuman penjara ini dapat digantung secepat mungkin kerana Wan Ji mempunyai satu lagi peluang merayu ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan keadilan baginya.
“Pemuda Amanah juga menggesa kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan yang telah lama diperjuangkan secara konsisten oleh parti komponen PH dan menjadi salah satu manifesto PH,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.
Beliau mengulas hukuman satu tahun yang dikenakan kepada Wan Ji oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina dan menghasut institusi raja.
Hukuman penjara berkuatkuasa semalam itu ditambah tiga bulan lagi daripada hukuman sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu.
Menurut Faiz, pemansuhan Akta Hasutan penting supaya Malaysia dilihat bersih dan benar-benar mengangkat agenda kebebasan serta hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah tidak adil bagi seorang pejuang seperti Wan Ji dipenjarakan, sedangkan beliau bersama rakyat berjuang menjatuhkan rejim kleptokrasi Barisan Nasional (BN).
Tegas beliau, Pemuda Amanah bimbang kemungkinan ada pejuang atau pemimpin PH lain dihukum di bawah Akta Hasutan itu semata-mata memberikan pandangan atas sesuatu isu sepertimana yang berlaku ke atas Wan Ji.
Apatah lagi, katanya, penceramah bebas itu dihukum di bawah akta zalim yang mahu dimansuhkan dan hukuman itu pula dilihat tidak adil kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan. – MalaysiaGazette
















