KUALA LUMPUR –Wan Ji Wan Hussin dijatuhkan hukuman penjara bukan kerana isu prinsip dan dasar yang diperjuangkannya.
Sebaliknya, hukuman itu disebabkan kebiadapan tangannya sendiri yang gemar memilih denai di luar kesusilaan akal yang waras, dalam menegur dan mengkritik sasaran yang diplilih iaitu Sultan Selangor dan Institusi Raja.
Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman telah membuat keputusan yang tepat, apabila menyatakan, penerbitan kata-kata (yang dikeluarkan Wan Ji) adalah satu penghinaan kepada Sultan Selangor.
“Apa yang diterbitkan oleh penceramah bebas itu bukan sahaja bersifat menghasut, bahkan ia cuba menanam kebencian rakyat terhadap Institusi Raja.
“Ini tindakan melampaui batas, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja. Lantaran itu Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan silang pendakwa raya dari sembilan bulan penjara kepada satu tahun penjara,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Wan Ji telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 September 2014 di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, disebabkan tindakannya yang menerbitkan status Facebook miliknya pada 5 November 2012.
Dalam status itu, beliau menulis dengan kata-kata yang bukan sahaja bersifat menghasut, bahkan sangat biadab, berbentuk penghinaan yang sangat serius serta mirip usaha menanam kebencian terhadap Sultan Selangor dan Institusi Raja.
Antara lainnya, Wan Ji menggelarkan Sultan Selangor sebagai ”Syaitan tak baca hadis nabi”, “bahana bodoh agama nak jadi ketua agama”, “perasan bagus tapi bodoh agama”, “buang je sultan2 ni, perabih duit rakyat”, “si syaitan ni buat projek pembodohan”, “bila orang bodoh, dia akan berkuasa”, dan “nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi sultan”.
Menurut Wan Rohimi, menelusuri fakta kes, sifat penerbitan menghasut, pemilihan kosa kata yang sangat biadab terhadap Sultan Selangor dan Institusi Raja, pihaknya berpandangan hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Tinggi sangat bersesuaian dan munasabah, yang diharap berupaya menyampaikan mesej tepat kepada masyarakat awam.
Ini kerana sejurus selepas Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) dan selepas kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan, terlalu banyak penerbitan bersifat menghasut dan menghina sultan dan Institusi Raja berlegar di ruang maya, tanpa diambil apa-apa tindakan penguatkuasaan yang wajar dan tangkas.
Malangnya, kata beliau, sejurus selepas itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tangkas mengkritik keputusan hakim dengan melabelkan sebagai “sangat keras”.
“Bahkan tengah hari semalam, Anwar dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata, “saya akan merujuk kepada perkara ini dan akan berjumpa Perdana Menteri”.
“Tindakan ini bukan sahaja berunsur campur tangan ke atas badan kehakiman, bahkan memperlihatkan sikap sambil lewa Presiden PKR itu dalam mempertahankan maruah sultan dan Institusi Raja.
“Ia juga nyata sekali memberikan lampu hijau kepada pendirian rasmi PKR, Pemuda Pakatan Harapan serta pelbagai NGO yang mesra Pakatan Harapan (PH) untuk melancarkan “Solidariti Bersama Wan Ji”,” katanya.
Namun, kata Wan Rohimi lagi, di sebalik keghairahan kelompok itu termasuk Anwar dalam bersolidariti dan mempertahankan Wan Ji, mereka kelihatan cuba memperkecilkan, bahkan langsung tidak mempedulikan kesan kepada penerbitan menghasut dan biadab terhadap Sultan Selangor serta Institusi Raja.
Jelasnya, label seperti “syaitan”, “bodoh agama nak jadi ketua agama”, “perabih duit rakyat” dan pelbagai perkataan biadab yang lain langsung tidak mendapat pertimbangan yang wajar oleh kelompok itu.
“Darjah kebiadapan Wan Ji digelapkan semata-mata untuk mendesak agar Akta Hasutan dimansuhkan,” tegas beliau.
Katanya, LUHAM berpandangan jika pun Akta Hasutan hendak dipinda dan diperkemaskan, sebarang bentuk hasutan, penghinaan dan tindakan biadab terhadap mana-mana sultan atau Raja-Raja Melayu, agama, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan lain-lain tonggak kenegaraan yang menjadi rukun keharmonian negara hendaklah kekal menjadi kesalahan yang dikanunkan. – MalaysiaGazette
















